Kuala Lumpur: “Kalau beliau tidak layak atas sebab-sebab kes jenayah atau sebagainya maka saya boleh ambil tindakan,” itu ulasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung penyerahan petisyen mengenai pertuduhan salah guna kuasa dan wang kerajaan oleh bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim.

Namun jelas khairy, bidang kuasa menentukan siapa presiden baru KOM bagi penggal 2014-2016 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sabtu ini, hanya boleh diputuskan oleh ahli perwakilan badan induk itu.

“Saya tidak boleh terbabit dalam proses pemilihan AGM sesebuah persatuan sukan. Kalau dia tidak layak atas sebab-sebab tertentu seperti kes jenayah atau sebaliknya, maka saya boleh ambil tindakan ke atas individu terbabit.

“Tapi sekiranya atas sebab-sebab lain, tidak banyak yang boleh saya lakukan. Jika tanya saya, sudah tentu saya ingin lakukan banyak perubahan terhadap persatuan, tapi inilah yang dinamakan demokrasi,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Post-Mortem Sukan Asia di Dewan Komanwel, di Bukit Jalil, semalam.

Beberapa bekas atlet dan jurulatih negara terdiri daripada bekas ratu 400 meter berpagar Noraseela Khalid, atlet 110 meter berpagar Rabbani Hassan, jurulatih pecut negara Hamberi Mahat dan bekas jurulatih negara Harun Rasheed turut hadir bagi menyerahkan petisyen itu.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Hamberi Mahat mempertikaikan pencalonan Karim menjelang AGM hujung minggu ini, biarpun jelas beliau dalang terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini.

Ia termasuklah isu membabitkan pelari, Mohd Yunus Lasaleh pada 2012 lalu yang mana gagal ujian doping ketika memenangi pingat emas acara 4x400 meter lelaki di Sukan SEA 2011 Palembang, Indonesia.

Tidak setakat itu, Karim juga didakwa mengarahkan enam atlet rangkaian kuartet 4x100 meter wanita, Siti Fatimah Mohamad, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Ling dan Norjannah Hafizah Jamaluddin melarikan diri daripada menjalani ujian doping pada 2012.

Rentetan daripada peristiwa itu, atlet terbabit serta Harun digantung daripada arena olahraga selama dua hingga 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:05 AM