DR Alfred Jabu (dua dari kiri) melihat produk dipamerkan.
DR Alfred Jabu (dua dari kiri) melihat produk dipamerkan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) komited untuk mentransformasi sektor pertanian negara menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing.

Agenda transformasi pertanian itu hanya dapat dipercepatkan dengan menerapkan penggunaan teknologi moden.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Sharif Haron berkata, bagi mengharungi arus globalisasi dan liberalisasi perdagangan dunia, sektor pertanian negara perlu mengalami transformasi melalui penggunaan teknologi dan inovasi.

“Antara usaha yang dilaksanakan MOA ialah memperkasakan teknologi dalam aktiviti pengeluaran dan pemprosesan produk pertanian serta industri asas tani termasuk penggunaan teknologi moden dan ICT.

“Teknologi yang dihasilkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan oleh institusi penyelidikan seperti MARDI dan universiti perlu dipindahkan secara terus atau melalui agensi pengembangan kerajaan atau swasta,” katanya.

Usaha itu katanya dapat disebar secara meluas dalam kalangan golongan sasar.

“Pembabitan aktif pihak penerima teknologi juga adalah elemen sangat penting dalam pemindahan teknologi.

“Melalui teknologi dan pengetahuan baru yang diperoleh daripada penyelidikan dirasai manfaatnya oleh petani dan pengusaha,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pemindahan Teknologi 2015 (CONFERTECH 2015).

Persidangan bertemakan Inovasi Teknologi Pemangkin Pembangunan Agropreneur diadakan di Riverside Majestic Hotel, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Objektif utama penganjuran persidangan ini adalah untuk memberi pendedahan dan berkongsi maklumat mengenai hasil penyelidikan dan teknologi yang dibangunkan penyelidik berkaitan pertanian dari seluruh negara.

Persidangan ini membincangkan isu penting berkaitan pemindahan teknologi dihadapi ejen pengemba­ngan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Datuk Mohd Fadil Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Persidangan Kebangsaan Pemindahan Teknologi 2015 Jamaludin Salim.

Persidangan tiga hari itu dihadiri 200 peserta, selain pembentangan 19 kertas kerja lisan dan 120 poster.

Tidak dinafikan, katanya, agensi pengembangan melakukan banyak usaha untuk kemajuan usahawan PKS.

“Pada masa yang sama usahawan mikro juga sangat memerlukan pembabitan ejen pengembangan dalam memindahkan teknologi kepada mereka.

“Maklum balas umum secara keseluruhanya mendapati keberkesanan pemindahan teknologi masih rendah kerana wujudnya jurang informasi antara penjana, penyampai dan penerima teknologi,” katanya.

Sehubungan itu, kata­nya usaha memberi pendedahan, latihan serta maklumat teknologi terkini kepada ejen pengembangan adalah sangat penting.

“Ini kerana ejen pengembangan adalah penghubung utama dengan golongan sasar,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran CONFERTECH 2015, katanya, ia adalah sangat tepat pada masanya.

“Penganjuran ini diharap dapat memperkukuhkan dan mempercepatkan lagi usaha pemindahan teknologi kepada golongan sasar melalui ejen pengembangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:37 PM