ISMAIL Sabri (kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian.
ISMAIL Sabri (kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian.
SEORANG peserta pameran bersalam dengan Ismail Sabri.
SEORANG peserta pameran bersalam dengan Ismail Sabri.
IKAN tilapia mendapat permintaan tinggi penduduk dunia.
IKAN tilapia mendapat permintaan tinggi penduduk dunia.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Satu persidangan peringkat antarabangsa mempertemukan pakar dan penggiat industri ikan tilapia sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Perniagaan dan Teknikal Mengenai Ikan Tilapia Kali Ke-4, (TILAPIA 2015), diadakan baru-baru ini.

Program anjuran INFOFISH di sebuah hotel di ibu kota bertujuan mengenal pasti isu dan cadangan berkaitan per­kembangan industri tilapia dunia.

Persidangan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Jabatan Perikanan disertai 300 peserta dari 25 negara.

Antara negara peserta membabitkan Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Turut diadakan lapan gerai pameran membabitkan produk berasaskan ikan tilapia seperti sate ikan yang diusahakan Restoran Hj Samuri Sdn Bhd.

Sate ikan tilapia yang dilancarkan pada 2013 memenuhi cita rasa pengguna kerana mengandungi nutrisi makanan diperlukan seperti sumber protein serta kurang lemak tepu.

Usaha memperkenalkan menu sate tilapia dalam mentransformasikan industri ternakan ikan air tawar di negara ini kepada projek yang berasaskan kemajuan saintifik.

Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri MOA, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausahanya, Azini Mohd Shahid; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM, Abdllah bin Rashid dan Pengarah INFOFISH, Dr Abdul Basir Kunhimohamed.

Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, perikanan dan akuakultur secara langsung atau tidak langsung memainkan peranan penting dalam kehidupan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Menurutnya, pada 2013, kira-kira 58.3 juta orang terbabit dalam pengeluaran ikan berkenaan secara liar ataupun akuakultur.

“Ikan dan produk perikanan adalah sumber nutrien berharga untuk diet kesihatan.

“Penggunaan perkapita dunia meningkat daripada purata 9.9 kilogram (kg) pada 1960 kepada 19.2kg pada 2013,” katanya.

Akuakultur dianggap di seluruh dunia sebagai salah satu sub-sektor makanan pengeluar yang paling pesat berkembang.

“Peningkatan berterusan dalam jumlah pengeluaran sepanjang dekad yang lalu menghasilkan sumbangan lebih besar kepada pengeluaran perikanan dunia,” katanya.

Pada hari ini pengguna katanya, mementingkan kesihatan dan menggantikan protein fikan dalam diet seharian mereka.

“Jadi pakar mengatakan permintaan untuk makanan laut di seluruh dunia akan berkembang satu pertiga dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran persidangan itu katanya, ia sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran agro-makanan.

“Malaysia mengambil satu anjakan baru dalam keutamaan kepada sektor agro-makanan dan kini giat mempromosikannya sebagai enjin pertumbuhan yang penting.

“Kementerian menggubal Dasar Agro-Makanan Negara sehingga tahun 2020 dan Program Transformasi Agro-Makanan untuk mencartakan hala tuju masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:10 PM