Remaja dan teknologi sukar untuk dipisahkan. HAZRIL MDNOR cuba menukar perspektif remaja akan kepentingan teknologi tanpa sempadan yang bukan saja terhad kepada kehendak sosial saja malah boleh menghasilkan lebih banyak cabang ilmu.

Dengan kehadiran teknologi yang berupaya menghubungkan antara insan, kita banyak menghabiskan masa menghadap peranti pintar atau komputer untuk memenuhi kehendak sosial. Namun, ia menjadi satu kelainan jika kita memanfaatkan masa itu untuk sesuatu yang lebih produktif. Gen Y sarankan anak muda lebih bijak mengatur masa untuk sesuatu yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan.

Bukan maki hamun

Sesuai dengan ‘trend’ masa kini yang memfokuskan penggunaan penulisan ringan anak muda lebih bebas mengutarakan pendapat mereka. Lebih menarik apabila kamu bijak mengatur kata-kata dan ia boleh dijadikan bahan jenaka.

Andai kamu komited untuk menghiburkan orang lain melalui bidang penulisan, maka blog landasan paling sesuai untuk menyalurkan apa juga pandangan. Mungkin selama ini kamu mempunyai idea menarik, namun ia bersikap ‘tertutup’ kerana kamu tidak tahu saluran sesuai untuk menyampaikan semua itu.

Oleh itu, gunakan kemudahan blog dan media sosial untuk mengutarakan apa saja isu positif yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan. Pada masa sama, blog itu boleh dijadikan sebagai platform berkongsi pandangan dan ilmu ilmiah. Tapi ingat, walaupun bebas berkata-kata, elakkan daripada penulisan berkenaan isu sensitif atau maki hamun yang boleh mengundang pandangan negatif masyarakat.

Kembangkan bisnes

Media sosial bukan saja perantaraan untuk berkomunikasi, tetapi juga sebagai landasan paling sesuai mengembangkan bisnes. Ramai yang sudah cuba tapi tetap tidak berjaya untuk mengenalkan jenama atau produk kepada orang ramai.

Caranya mudah tapi perlu ada usaha berterusan. Langkah pertama, pastikan laman sosial dipilih itu betul dan popular seperti Facebook atau Twitter. Seterusnya, pastikan kolum itu dimuatkan dengan info menarik dan bertepatan dengan produk yang ingin dikomersialkan justeru lebih ramai pengguna akan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.

Muat naik foto atau apa saja barisan ayat ‘catchy’ yang boleh menarik perhatian. Lebih banyak foto bermakna lebih mudah bagi pengguna memahami apa jenis produk yang diketengahkan. Akhir sekali, gunakan kemudahan ‘facebook credits’ untuk menarik lebih ramai golongan sasar melihat ‘post’ dari ‘page’ kamu.

Kemudahan video blog

Video blog atau lebih sesuai dengan istilah Vlog boleh diertikan sebagai lang­kah memuat naik video ke laman hiburan seperti YouTube. Berbanding video biasa. Vlog biasanya lebih popular dan menjadi trend terkini.

Jika kamu mempunyai personaliti menarik ataupun jenaka yang boleh menghiburkan orang lain, apa salahnya muat naik video anda membuat lawak di YouTube. Mungkin ramai pengguna terhibur dengan kandungan video kamu dan seterusnya ia menjadi ‘viral’.

Sama juga jika kamu mempunyai bakat dalam nyanyian, cuba ketengahkan bakat itu dengan menyanyikan lagu asal daripada penyanyi popular tapi dengan olahan tersendiri. Siapa tahu kamu bertuah dan dapat dilamar menjadi artis baru oleh syarikat muzik popular.

Tambah ilmu

Membaca bukan saja terhad dalam bentuk media tradisional seperti buku tapi juga melalui media elektronik. Rugi jika kita tidak memanfaatkan kebaikan membaca yang boleh diakses di mana-mana saja kini. Daripada menghabiskan masa hanya dengan bersosial, kita disarankan mengambil tahu mengenai isu semasa yang berlaku di sekeliling.

Kerana terlalu banyak membazirkan masa bersosial, kita mungkin tidak mendapat pendedahan isu terkini dan juga isu utama di luar negara. Terdapat banyak aplikasi yang menyediakan kandungan menarik mengenai isu di luar negara atau tempatan. Bukankah lebih menarik jika diri kita dilengkapkan serba sedikit mengenai ilmu saintifik ataupun ilmu sejarah yang belum pernah kita fikirkan?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 9:21 AM