MUHAMMAD Hasif minat menulis sejak kecil.
MUHAMMAD Hasif minat menulis sejak kecil.
SERING menerima undangan menyampaikan taklimat berkaitan pencapaiannya bergelar novelis muda.
SERING menerima undangan menyampaikan taklimat berkaitan pencapaiannya bergelar novelis muda.
ANTARA aktiviti menarik disertai Muhammad Hasif.
ANTARA aktiviti menarik disertai Muhammad Hasif.
ALAM semula jadi antara lokasi digemarinya.
ALAM semula jadi antara lokasi digemarinya.
Siti Nadirah Hafidzin

Minat membaca dan menulis sehingga mampu menulis novel ketika berusia 14 tahun antara pencapaian paling membanggakan buat anak kelahiran Melaka ini.

Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengakui, menulis memberi kepuasan sebenar kerana ia bukan saja membantunya dalam bidang penulisan, malah memberikan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan.

Bagi Muhammad Hasif Mohd Jelani, 22, selepas bergelar novelis, dia memilih untuk menjadikan medan blog sebagai tempat berkongsi segala luahan perasaan.

“Saya mula menulis blog sejak 2009. Pada mulanya hanya fokus kepada perkongsian dan aktiviti penulisan, namun sejak tahun lalu saya mula berkongsi pelbagai cabang maklumat termasuk pelancongan, makanan serta gaya hidup.

“Saya sentiasa pastikan setiap penulisan saya padat dengan informasi tetapi tetap santai dan diselitkan gambar berkualiti,” katanya yang menyediakan blog di http://planethasifhamsyari.blogspot.com.

Anak muda yang juga penuntut jurusan kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini juga menyelitkan rakaman video menarik khususnya pada ulasan tempat pelancongan, hotel, kafe dan restoran bagi memberikan penjelasan lebih jelas.

“Saya gembira setiap kali bercerita di blog kerana dapat memberi penerangan dengan jelas kepada pembaca khususnya yang memerlukan maklumat mengenai sesuatu lokasi yang ingin dituju.

“Saya menggunakan konsep blog yang minimalis namun maksimum dari segi isi kandungannya bagi memastikan ia dapat digunakan individu yang memerlukan maklumat,” katanya.

Menurutnya, selain menjadi antara sumber pendapatan melalui penulisan blog, bidang itu juga memberi kepuasan kepada dirinya yang sentiasa aktif menulis.

“Saya banyak mendapat pendedahan awal melalui penulisan blog yang menemukan saya dengan ramai individu termasuk menambah kenalan terdiri daripada kumpulan penulis blog.

“Selain aktif menulis blog, saya juga memberi ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara untuk berkongsi pengalaman sebagai novelis muda, Tokoh Nilam dan bengkel penulisan,” katanya.

Tambahnya, dia amat berharap perkongsian di blognya itu dapat menarik ramai pembaca untuk mencuba pelbagai perkara baru terutama melancong dan berkunjung ke tempat makan menarik.

“Selain dapat mengetengahkan bakat dalam bidang penulisan dan mengumpul lebih ramai pengunjung di laman blog, saya juga mengharapkan bidang ini dapat membantu individu yang memerlukan maklumat.

“Saya juga tidak bercadang untuk berhenti menulis di blog dan akan berusaha memperkemaskan hasil penulisan supaya ia lebih memudahkan pembaca,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 12:17 PM