AFP

Rome: Seramai 700 orang dikhuatiri lemas selepas kapal nelayan yang menyeludup pendatang asing ke Eropah karam di perairan Libya, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Jurucakap UNHCR Carlotta Sami berkata, hanya 28 orang terselamat dalam nahas itu dan mereka percaya lebih 700 orang berada di atas kapal berkenaan.

Pegawai Itali berkata, 17 kapal tentera laut, pengawal pantai dan kapal perdagangan di kawasan berkenaan serta sebuah bot peronda Malta terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat yang diselaraskan oleh pengawal pantai Itali di Rome.

“Mereka secara umumnya berusaha mencari mangsa yang terselamat di celah mayat terapung,” kata Perdana Menteri Malta Joseph Muscat.

Bot berkenaan dipercayai karam selepas pendatang itu berebut-rebut ke satu bahagian sebaik melihat sebuah kapal perdagangan mendekatinya.

“Seorang mangsa yang terselamat berkata, mereka bergerak ke bahagian itu dengan harapan kapal perdagangan terbabit akan menyelamatkan mereka,” kata jurucakap Sami.

Jika jumlah mangsa dinyatakan benar, tragedi itu adalah yang paling buruk setakat ini membabitkan pendatang yang mati lemas akibat tragedi bot karam ketika cuba menyelinap memasuki Kesatuan Eropah (EU) menaiki kapal yang tidak layak dilayari serta lebih muatan yang dikendalikan penyeludup.

Kapal itu karam 96 kilometer dari pesisir pantai Libya dan 193 kilometer ke selatan pulau Lampedusa, Itali.

Lebih 11,000 pendatang cuba menyeludup masuk ke Eropah berjaya diselamatkan pengawal pantai Itali serta bot lain sejak awal tahun ini sementara 1,500 lagi lemas.

Sehubungan itu, pertubuhan bantuan menggesa masyarkat antarabangsa berganding bahu memastikan sistem mencari dan menyelamat yang lebih baik, selain mencari kaedah menghentikan pendatang dari Asia, Timur Tengah dan Afrika belayar secara haram untuk ke Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:48 AM