GAMBAR dirakam tentera laut Itali menunjukkan usaha menyelamat mangsa dilakukan.
GAMBAR dirakam tentera laut Itali menunjukkan usaha menyelamat mangsa dilakukan.
AFP

Rome: Sekurang-kurangnya 40 pendatang mati di dalam sebuah bot di luar pantai Itali ketika Kesatuan Eropah (EU) berusaha menangani krisis pendatang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Ribuan rakyat Afrika dan Asia Barat mengambil jalan berbahaya menyeberang laut dengan bot usang untuk tiba di Itali dan Greece sejak beberapa bulan lalu kerana melarikan diri dari kemiskinan atau peperangan.

Lebih 1,500 orang dilaporkan mati lemas dalam pelayaran, khususnya di Laut Meditteranean.

Dalam kejadian semalam, tentera laut Itali berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan ratusan pendatang dari bot berkenaan.

Akhbar Corriere della Sera melaporkan, mereka yang terbunuh dipercayai lemas di bahagian bawah bot terbabit.

Helikopter tentera Itali mengesan bot yang sesak dengan penumpang itu dalam keadaan hampir karam, kira-kira 33 kilometer nautika dari pantai Libya di selatan Pulau Lampedusa.

Sebuah bot peronda tentera dikerah membantu.

“Anggota kami berdepan dengan suasana amat sedih ketika menaiki bot berkenaan. Ada mayat terapung dalam air,” kata pegawai kanan tentera laut Itali Komander Massimo Tozzi.

Seramai 312 mangsa yang terselamat, termasuk 45 wanita dan tiga kanak-kanak dipindahkan ke sebuah kapal Norway.

Hampir 400 pendatang diselamatkan di Laut Meditteranean Satbu lalu oleh beberapa kapal lain yang turut menyertai operasi meronda dan menyelamat EU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 1:12 PM