Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengurus skuad bola sepak negara ke temasya Sukan SEA Singapura Datuk Seri Afandi Hamzah percaya negara Seberang Tambak itu tidak mempunyai kelebihan walaupun berada dalam Kumpulan A, sekali gus bermain kurang satu perlawanan berbanding Harimau Malaya.

Singapura diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina manakala Malaysia dalam Kumpulan B, perlu berdepan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei serta Timor Leste.

“Memang undian Malaysia lebih sukar berbanding Singapura, tapi saya tidak boleh katakan ia berpihak kepada sesiapa. Kita kena terima undian ini dan fokus terhadap persiapan sendiri.

“Biasanya pada peringkat kumpulan, perlawanan pertama dan kedua penting untuk mendapat momentum seterusnya,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan SEA Singapura, kelmarin.

Afandi juga menolak andaian ada pasukan dalam Kumpulan B yang boleh dilabel sebagai pasukan belasahan.

“Tapi, saya tidak nafikan prestasi pasukan kita sentiasa konsisten dalam Sukan SEA. Kita menang pada 2009 dan 2011 dan hanya tewas menerusi penentuan penalti di separuh akhir 2013,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:10 AM