SKUAD negara hadapi misi getir di Kemboja.
SKUAD negara hadapi misi getir di Kemboja.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan menamatkan badi pingat emas Sukan Sea di Kemboja tampak berliku buat skuad bawah 22 (B-22) tahun negara apabila diundi dalam kumpulan maut pada temasya dwitahunan itu.

Pada undian yang berlangsung di Kemboja itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos. Manakala, pasukan tuan rumah Kemboja diletakkan dalam Kumpulan A dengan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Kehadiran Vietnam dan Thailand pastinya menyukarkan laluan skuad kendalian E Elavarasan yang disasarkan untuk mara ke pentas final.

Malah, kali terakhir pasukan negara menjuarai acara bola sepak lelaki adalah pada temasya di Indonesia 2011 lalu.

Cabaran sukar dijangka bakal dilalui pasukan negara di mana Thailand dan Vietnam dilihat berada pada kelas tersendiri apabila baru sahaja menyertai Piala Doha yang menyaksikan negara terbabit bersaing dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan paling mencuri tumpuan adalah kejayaan Thailand menewaskan Qatar di saingan jemputan itu bulan lalu.

Bagaimanapun, kemampuan pasukan negara menjuarai Piala Merlion di Singapura hujung bulan lalu bakal menyemarakkan motivasi pemain selepas menundukkan Kemboja 4-1 di peringkat awal sebelum menumbangkan Hong Kong 2-1 di pentas final dalam pertandingan empat penjuru itu.

Acara bola sepak Sukan Sea akan bermula awal dengan sepak mula pada 29 April ini, manakala aksi final dijadual pada 16 Mei depan.

Kumpulan A

Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Timor Leste

Kumpulan B

Vietnam, Thailand, Malaysia, Singapura, Laos

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 5:41 PM