BERKONSEPKAN sederhana, bergaya, menawan dan menjimatkan masa.
BERKONSEPKAN sederhana, bergaya, menawan dan menjimatkan masa.
Siti Zarinah Sahib

Mencari fesyen sesuai yang memberikan sentuhan manis dan sopan untuk anak perempuan adakalanya agak sukar terutama bagi ibu berkerjaya. Dalam keterbatasan masa ibu tidak mempunyai masa mencari padanan sesuai untuk si comel.

Menyedari hal ini pasangan suami isteri, Noor Syaheedah Zakaria dan Mohd Yusri Mohd Jainury memberanikan diri menghasilkan jenama sendiri dengan cetusan idea yang lebih segar untuk Muslimah cilik masa kini. Jenama Nasuheart ialah gabungan nama puteri sulung pasangan ini Naimie Nasuha yang bermaksud suci.

“Nasuheart ialah garapan daripada nama puteri sulung kami Naimie Nasuha dan dikomersialkan dengan gabungan perkataan Inggeris Heart menjadikan maksudnya hati yang suci,” jelas Syaheedah.

Untuk keluaran pertama Nasuheart tampil dengan koleksi selendang segera kanak-kanak berkonsepkan sederhana, bergaya, menawan yang pastinya menjimatkan masa bagi si kecil menggayakannya. Paling penting selendang ini tidak memerlukan cara pemakaian yang kompleks.

Konsep kasual yang diketengahkan pula memberikan kesesuaian dalam setiap penggayaan si cilik pada bila-bila masa dan di mana saja.

Malah ia bukan saja boleh digayakan pada hari biasa tetapi menghadiri majlis keraian. Menampilkan dua rekaan tudung yang mempunyai keunikan tersendiri iaitu Azzahra dan Hijab Nuha untuk mereka yang inginkan gaya si comel kekal manis dan menawan.

“Memahami lumrah kanak-kanak yang sentiasa aktif dalam melakukan aktiviti seharian, selendang segera Azzahra dihasilkan daripada fabrik moss crepe yang lembut dan selesa dan mempunyai sengkuap bercorak bunga. Selain itu, terdapat charm yang comel di hujung jurai shawl yang bertindak sebagai pemberat dan juga aksesori yang menarik manakala bagi Hijab Nuha, material yang kami gunakan daripada kapas prada yang sejuk dan selesa terutama buat si cilik yang sensitif dengan cuaca panas.

“Koleksi ini dihiaskan dengan sekuntum bunga crochet yang bertindak sebagai kerongsang comel dan boleh dibuka sekiranya tudung hendak dibasuh,” katanya.

Nasuheart turut mengeluarkan koleksi jubah kanak-kanak perempuan bermula pada usia tiga sehingga 12 tahun. Jubah Mardhiya dihasilkan daripada material yang selesa dengan pilihan rona lembut dan ceria.

“Padanan kontra pada bahagian dada dan lengan menjadikan koleksi ini kelihatan menyerlah dan eksklusif. Kehadiran zip pada tangan juga membuatkan koleksi jubah ini mesra wuduk dan boleh disinsing ketika menjamu selera,” tambah Syaheedah lagi.

Dengan rangkaian harga mampu milik dan berpatutan dengan rekaan eksklusif yang ditampilkan, koleksi Nasuheart boleh didapati pada harga serendah RM30. Mempunyai butik dalam talian, Nasuheart bergiat aktif memaksimumkan perniagaan melalui aplikasi sosial dan sentiasa mengambil kira pendapat dan maklum balas pelanggan sebelum mengeluarkan sesuatu rekaan.

Juga menggunakan vendor sebagai platform untuk lebih dekat kepada pelanggan, produk Nasuheart juga boleh didapati di butik Rumoda, Bangi Sentral dan Sapphire Exclusive Butik, Ipoh dan pernah menyertai KL International Hijab Festival di Brunei pada Jun lalu.

Pada masa akan datang Nasuheart berharap untuk mengembangkan jenamanya ke pasaran Brunei pula. Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari Instagram: @nasuheart dan Facebook: Nasuheart serta laman web rasmi www.nasuheart.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 12:14 PM