DUTA Galeria Ariani, Bella Dally (kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Farah Haryani.
DUTA Galeria Ariani, Bella Dally (kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Farah Haryani.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan koleksi baru pakaian Muslimah di pasaran.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Faroz Mohamed Jakel berkata, koleksi pakaian Muslimah itu akan berada di pasaran tidak lama lagi dengan pelbagai rekaan serta menggunakan fabrik berkualiti tinggi.

Katanya, koleksi pakaian Muslimah Ariani juga berkonsepkan moden dan didatangkan dengan variasi warna dan fabrik serta direka untuk digayakan dalam pelbagai saiz.

“Selain memberi fokus kepada penghasilan koleksi tudung baru, kami yakin dengan pasaran pakaian Muslimah dan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

“Kami yakin Ariani mampu mendapat sambutan daripada pelanggan kerana kami mengutamakan kualiti dan kehendak pembeli, malah permintaan agak tinggi oleh golongan wanita yang memerlukan pakaian Muslimah yang menutup aurat dan bersesuaian dengan trend masa kini,” katanya pada pelancaran koleksi tudung baru Ariani di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Nor Aswana Omar, Pengarah Eksekutif Ariani, Mohammed Nizam Mohamed Jakel dan Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip.

Mohamed Faroz berkata, pihaknya juga menyasarkan peningkatan jualan antara 15 dan 25 peratus tahun ini terutama disumbangkan dengan koleksi baru.

Menurutnya, pelanggan juga berpeluang membeli semua produk Galeri Ariani secara online yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat ini, selain mendapatkan koleksi terbaharu itu di 21 cawangan Galeri Ariani seluruh negara.

Sementara itu, Farah Haryani berkata, pengenalan produk pakaian Muslimah adalah salah satu transformasi dalam mempromosikan produk syarikatnya.

“Pakaian Muslimah terbaru ini menampilkan rekaan kreatif dan corak terkini dengan perincian yang menambahkan lagi keanggunannya dan didatangkan dengan variasi warna terkini.

“Galeri Ariani juga akan mengadakan jualan secara besar-besaran sempena pelancaran pembukaan galerinya selama 10 hari bermula 27 Mac,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:14 AM