Azaddin (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ahmad Zaini sambil disaksikan Pengerusi AKPK,  Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed (kiri) dan Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Azaddin (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ahmad Zaini sambil disaksikan Pengerusi AKPK, Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed (kiri) dan Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) komited menurunkan kadar pinjaman tidak berbayarnya (NPL) kepada 3.0 peratus tahun ini menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, tahun lalu keseluruhan NPL MBSB berjumlah 4.1 peratus menunjukkan perkembangan positif berbanding 5.4 peratus pada 2013.

Katanya, bagi NPL peruncitan MBSB pula, ia berjaya dikurangkan sehingga 2.0 peratus setakat ini dan pihaknya menyasarkan untuk mengurangkannya lebih rendah daripada jumlah itu bagi 2015.

“MBSB yakin untuk memperoleh penyertaan antara 5.0 dan 10 peratus daripada pelanggan NPL kami bagi PPK ini dan kami berusaha mengekalkan pembiayaan mampan serta berkualiti bagi mematuhi piawaian industri,” katanya pada sidang media di majlis perjanjian persefahaman (MoU) bersama AKPK di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi AKPK, Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Ahmad Zaini berkata, pembabitan MBSB dalam DMP mencerminkan sokongan syarikat sebagai salah satu institusi kewangan utama yang menyediakan perkhidmatan kewangan kepada sektor isi rumah.

Menurutnya, tahun lalu saja, MBSB menyalurkan RM27 bilion pembiayaan kepada pelanggan bagi semua segmen termasuk pinjaman peribadi, perumahan dan sewa beli.

Beliau turut mengulas mengenai pelan penggabungan CIMB-RHB-MBSB yang menemui kegagalan dan menyatakan walaupun berakhir dengan kegagalan, pihaknya tidak menutup ‘pintu’ untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak serta bersedia untuk mempertimbangkan sebarang pelan lain.

Sementara itu, Azaddin berkata, AKPK berharap kerjasama dengan MBSB membantu orang ramai bagi meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan peribadi mereka dalam aliran tunai, mendisplinkan bajet serta memenuhi obligasi hutang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:26 AM