Wisma MBSB.
Wisma MBSB.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM403.41 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 daripada kerugian bersih RM12.51 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh masuk kira semula susut nilai.

Bagaimanapun, perolehan dalam suku itu menguncup kepada RM664.94 juta daripada RM886.35 juta pada tahun sebelumnya terutamanya berikutan keuntungan yang rendah daripada jualan pelaburan kewangan pada suku kedua 2021.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata, keputusan itu terutamanya disebabkan kerugian kredit yang dijangka lebih rendah, yang menyumbang kepada masuk kira semula bersih bagi susut nilai susulan peningkatan tahap pinjaman, pembiayaan dan pendahuluan.

"Ia juga melambangkan kecekapan dalam penambahbaikan pelan perniagaan kami yang dilaksanakan dengan teliti sejak awal tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Jumlah aset MBSB bagi suku berkenaan meningkat 1.80 peratus suku ke suku kepada RM50.84 bilion pada suku kedua 2021 daripada RM49.94 bilion pada suku pertama 2021, terutamanya dalam pelaburan kewangan dan jumlah pembiayaan bersih.

Jumlah aset bank itu menyaksikan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 4.63 peratus daripada RM48.59 bilion pada suku kedua 2020.

Sementara itu, deposit meningkat sebanyak 0.22 peratus kepada RM35.68 bilion pada suku kedua 2021 berbanding RM35.60 bilion pada suku pertama 2021 dan 4.97 peratus berbanding RM33.99 bilion pada suku kedua 2020.

Mengenai nisbah kewangan utama MBSB, kos kepada nisbah pendapatan berjumlah 24.01 peratus pada suku kedua 2021, lebih rendah suku ke suku berbanding 24.03 peratus pada suku pertama 2021.

Nisbah ekuiti biasa turun suku ke suku kepada 21.06 peratus pada suku kedua 2021 berbanding 21.20 peratus pada suku pertama 2021.

Nisbah liputan kecairan kumpulan berada pada 220.09 peratus pada suku kedua 2021 berbanding 202.67 peratus pada suku pertama 2021, mengikut peraturan Bank Negara Malaysia.

Mengenai jangkaan MBSB untuk suku selanjutnya, Nor Azam berkata, melalui pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, anak syarikat utamanya MBSB Bank Bhd optimis ia berupaya memperkukuh kedudukannya dan meneroka inisiatif baharu.

"Kami berharap dapat menyaksikan keadaan politik yang lebih baik berikutan kestabilan politik memberi kesan kepada sentimen pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 1:03 PM