AHMAD Zaini  (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Tang Yow Sai menunjukkan buku Laporan Tahunan MBSB 2018 sempena Mesyuarat Agung Tahunan MBSB yang ke-49, semalam.
AHMAD Zaini (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Tang Yow Sai menunjukkan buku Laporan Tahunan MBSB 2018 sempena Mesyuarat Agung Tahunan MBSB yang ke-49, semalam.
Che Wan Badrul Alias


KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) kini bersedia bergerak sebagai perbankan Islam sepenuhnya setaraf institusi perbankan lain di negara ini dan menuai aliran pendapatan baharu dijana peralihan itu bermula tahun ini.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, tahun kewangan 2019 menyaksikan semua keupayaan perbankannya tersedia termasuk dari segi teknologi, perbankan Internet, perbankan Internet korporat, perbankan Internet runcit, kad debit, akaun semasa dan pembiayaan perdagangan.

Justeru, katanya, MBSB menyasarkan pertumbuhan pinjaman melonjak lima peratus hasil sumbangan aliran pendapatan baharu termasuk daripada pembiayaan perdagangan, perbendaharaan, pengurusan kekayaan produk dan perkhidmatan dan servis pembiayaan alternatif peer-to-peer (P2P).

“Sebagai perbandingan akhir tahun kewangan 2018, sumbangan pendapatan daripada perniagaan baharu lebih tiga peratus kerana ketika itu kami masih menunggu beberapa kelulusan daripada penguat kuasa selepas memperoleh lesen pada April tahun lalu.

“Fokus perniagaan MBSB kini untuk mengekalkan persaingan dalam teras perniagaan utama sebelum ini seperti pembiayaan peribadi, gadai janji dan pembiayaan hartanah apabila kami kukuhkan dan terus inovatif, namun kami juga melihat aliran pendapatan baharu yang penting untuk pertumbuhan.

“Selepas 15 bulan transformasi besar-besaran, kini tiba masa pelaksanaannya dalam landskap perbankan baharu dan kami sasarkan anak syarikat perbankan Islam ini dapat dijadikan syarikat induk dalam tempoh dua tahun,” katanya di sini, semalam.

Pada Mac tahun lalu, MBSB selesai mengambil alih keseluruhan pegangan dalam Asian Finance Bank Bhd (AFB) menerusi satu urus niaga bernilai RM644.95 juta.

Ketika ini, nilai pinjaman diluluskan dan sedia diagihkan MBSB mencecah RM7 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:40 AM