Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Adi Aliffuddin Hussin tidak perlu risau berhubung penyertaannya ke Sukan SEA Singapura Jun ini berikutan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi sokongan penuh penyertaannya di temasya itu.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata, pemenang pingat perak Sukan SEA Myanmar itu wajar dihantar selepas menunjukkan prestasi terbaik biarpun beraksi atas tiket kategori B.

Katanya, Adi berada dalam kelompok tiga terbaik dan pencapaian semasanya menunjukkan dia berada dalam kedudukan pingat serta mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Bagaimanapun, KOM yang berdepan masalah kewangan terpaksa berbincang kembali dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung penghantaran atlet kategori B kerana tidak mampu membiayai semua atlet di bawah kategori itu.

“Adi perlu dihantar kerana dia sudah menunjukkan prestasi terbaik, namun kini terpulang kepada siapa yang mahu menanggung pembayaran bagi kategori B. Kewangan KOM yang terhad membuatkan saya perlu meneliti secara terperinci setiap keputusan.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada MOM kerana menyenaraikan 13 atlet bawah kategori itu yang mungkin akan dihantar ke Sukan SEA seandainya menunjukkan prestasi meyakinkan dalam beberapa lagi baki kejohanan,” katanya.

Hanya 18 atlet olahraga negara layak secara merit selepas tamatnya tarikh tutup penyertaan pada 1 April lalu.

Bagaimanapun, 13 atlet kategori B perlu membuktikan potensi membawa pulang pingat sebelum diputuskan sama ada ke Singapura atau tidak.

Karim terpaksa membuat beberapa keputusan drastik berikutan syarat ditetapkan Singapura yang mahu senarai atlet dihantar dua bulan lebih awal.

Seandainya waktu tempoh kelayakan itu dilanjutkan, beliau pasti lebih ramai atlet olahraga negara akan layak kerana masih terdapat beberapa kejohanan dalam waktu terdekat seperti Terbuka Taiwan dan juga Terbuka Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:01 AM