MOHD Izzuddin Yahya layak secara merit ke Sukan SEA Singapura.
MOHD Izzuddin Yahya layak secara merit ke Sukan SEA Singapura.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur : Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan kesemua persatuan sukan sudah menghantar nama atlet masing-masing yang akan beraksi pada temasya Sukan SEA di Singapura Jun ini dengan senarai terakhir akan diketahui hari ini.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menjadi dua pasukan terakhir menyerahkan nama atlet mereka.

Katanya, MOM memberi kelonggaran kepada KOM dan ASUM untuk menghantar nama pada 1 April lalu sejurus selepas tamat Kejohanan Terbuka Malaysia yang dianjurkan kedua-dua persatuan itu.

“Kini kesemua persatuan sudah menghantar nama atlet mereka dan MOM akan memutuskan senarai terakhir yang akan dihantar ke Sukan SEA esok (hari ini).

“KOM dan ASUM sudah menghantar senarai nama atlet mereka termasuk dalam Kategori B,” katanya.

Bagaimanapun Kok Chi berkata, KOM mempunyai kuasa untuk menggugurkan atlet bawah Kategori B itu bila-bila masa sekiranya berpendapat atlet berkenaan tidak mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Katanya, KOM sendiri menetapkan syarat itu kerana mahu melihat sejauh mana atlet di bawah Kategori B mampu menyerlah dalam beberapa lagi pertandingan selepas ini termasuk Terbuka Singapura dan kejohanan negeri.

Setakat ini KOM menyenaraikan 25 atlet dengan 17 daripadanya layak secara merit, membabitkan 11 lelaki dan enam wanita manakala lapan disenaraikan di bawah Kategori B.

ASUM pula menghantar 17 nama yang semuanya di bawah Kategori A.

MOM memaklumkan seramai 685 atlet akan beraksi pada Sukan SEA membabitkan 364 atlet lelaki dan 321 wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:29 AM