NORAINI bersama ‘Sambal Jawo Cik Non’ yang diusahakannya.
NORAINI bersama ‘Sambal Jawo Cik Non’ yang diusahakannya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Siapa sangka wanita gigih yang bergelar jurusolek profesional sejak 20 tahun lalu ini bukan saja mempunyai sentuhan tangan ajaib kerana mampu menghasilkan solekan cantik menawan, malah dalam masa sama mahir memasak.

Bagi Noraini Ab Hamid, 42, yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia solekan, sikap tidak boleh duduk diam di samping dianugerahkan kegigihan tanpa mengenal erti penat dan tidak cepat putus asa menjadikannya cuba mencari kelainan dalam rutin hidupnya.

Menurut Noraini, dia sudah terbabit dalam dunia solekan sejak 1994 selain turut menyolek artis ternama tanah air sehingga kini.

“Bermain dengan warna solekan sudah menjadi rutin harian dan saya berpuas hati dengan kerjaya yang diceburi ini. Ini minat saya sejak dulu lagi, namun disebabkan gemar mencari kelainan, saya mula meneroka bidang baru dengan menghasilkan produk berasaskan makanan iaitu sambal kering - Sambal Jawo Cik Non.

“Saya amat bersyukur kerana bukan saja dianugerahkan kepakaran menyolek malah turut mempunyai kebolehan memasak pelbagai jenis masakan terutama sambal yang saya usahakan ini hasil tunjuk ajar dan didikan ibu tercinta sejak kecil,” ujarnya.

Wanita berasal dari Klang, Selangor itu berkata, niat untuk menjalankan perniagaan berasaskan makanan itu bermula ketika dia sedang mengikuti lawatan kerja ke Hong Kong beberapa bulan lalu.

“Bimbang berhadapan masalah untuk mendapatkan makanan halal ketika itu mendorong saya membawa bekalan makanan sendiri yang saya namakan Sambal Jawo Cik Non.

“Walaupun pada mulanya diejek rakan kerana membawa bekalan sambal kering yang dicampur ikan bilis, tempe dan kacang dalam kuantiti yang banyak, namun hakikatnya itu adalah makanan penyelamat kami ketika di sana,” katanya.

Daripada usikan, kini mereka pula yang jadi pelanggan. Menurut mereka, sambal kering yang dihasilkannya itu sedap, boleh bertahan lama dan sesuai dibawa untuk perjalanan jauh. Pujian itu yang membuatkan Noraini tergerak hati untuk menjualnya.

“Bermula daripada itu, saya terus menyatakan hasrat kepada suami dan dia turut bersetuju untuk sama-sama mengusahakan perniagaan kecil-kecilan ini.

“Dengan menggunakan bahan mudah namun sentiasa mengekalkan kualiti antaranya tempe, cili padi, garam, gula merah dan ikan bilis selain dimasak lebih dua jam sehingga kering menjadikan sambal ini istimewa dan lain daripada yang lain.

“Sambal yang saya usahakan ini mempunyai dua jenis iaitu sambal cili merah atau sambal cili hijau yang dijual dengan harga RM10 sebungkus,” ujarnya.

Noraini yang sentiasa ceria dan murah senyuman itu turut mengakui dia perlu bijak mengatur masanya bagi memastikan dia bukan saja mampu menjalankan tugas menyolek dan memasak sambal, malah dapat menguruskan keluarga dengan baik.

“Saya akan pastikan mempunyai masa untuk diluangkan bersama suami dan keluarga tercinta terutama ketika tidak mempunyai tugas menyolek. Bukan mudah untuk berjaya dan bahagia dengan melakukan perkara yang disukai tanpa sokongan keluarga. Selain itu kita juga perlu ada semangat dan kegigihan untuk mencapai apa yang diimpikan,” katanya.

Bagi yang ingin mendapatkan sentuhan jari jemari ajaib jurusolek ini dan merasai keenakan ‘Sambal Jawo Cik Non’, boleh menghubunginya melalui Facebook cik non (noni) atau Instagram ciknonnoni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:51 PM