NURUL Ashikin memperkenalkan produk sambal di Prima Saujana, Kajang.
NURUL Ashikin memperkenalkan produk sambal di Prima Saujana, Kajang.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bossman Kitchen optimis untuk menjual kira-kira 24,000 botol sambal dalam tempoh setahun disokong dengan perancangan menembusi pasaran pasar raya besar dan stesen minyak, menjelang suku ketiga tahun depan.

  Pengasasnya, Nurul Ashikin Mohamed Aris berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan menjual antara 1,500 hingga ke 2,000 unit sambal Bossman Kitchen sebulan.

  Katanya, setakat ini terdapat lapan jenis pilihan Sambal Bossman Kitchen yang ada di pasaran serta dijual secara dalam dan luar talian pada harga bermula antara RM12 dan RM17.

  "Sambal ini saya hasilkan tahun lalu sebab berhenti kerja dengan bermula sambal bilis resipi ibu saya dan syukur ia mendapat sambutan begitu memberangsangkan daripada pelanggan.

  "Saya juga tidak sangka terpilih untuk menjadi salah satu usahawan di bawah Mak Cun yang akan dibawa masuk ke pasar raya besar terpilih.

  "Walaupun terdapat banyak produk sambal lain di pasaran, saya yakin dengan sentiasa menjaga kualiti produk dan harga, Sambal Bossman Kitchen mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan penggemar makanan pedas," katanya kepada Bisnes Metro.

   Menurutnya, pengalaman 15 tahun dalam industri makanan dan minuman, membantunya lagi untuk terus konsisten menghasilkan produk yang mengikut kehendak pelanggan.

  Nurul Ashikin berkata, produknya juga mendapat permintaan dari Singapura dan Indonesia.

  "Buat masa sekarang, saya fokus pada pasaran tempatan dan syarikat mengadakan promosi Jualan Lockdown yang mana dua botol sambal (bilis garing dan tempe garing) dijual pada harga RM20 saja.

   "Untuk melihat produk lain, boleh terus ke Facebook (Bossman Kitchen) dan banyak lagi sambal lain ditawarkan antaranya sambal bilis petai, gesek, penyet berapi ummi, tumiz serbaguna dan pelbagai lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 7:00 AM