PEMAIN Atletico pamer peningkatan ketika menentang Real.
PEMAIN Atletico pamer peningkatan ketika menentang Real.
Reuters

Madrid: Juara bertahan La Liga Atletico Madrid sudah meningkat dan menumpukan perhatian untuk menamatkan saingan musim ini di kelompok tiga teratas bagi menjamin tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, kata jurulatih Diego Simeone.

Simeone berjaya membentuk semula pasukannya selepas pemergian pemain seperti Diego Costa dan Thibaut Courtois. Atletico menjulang Piala Super Sepanyol, Ogos lalu selepas mengalahkan musuh tradisi Real Madrid.

Kekalahan 3-1 di tangan Barcelona, Ahad lalu membuatkan mereka kini empat mata di belakang pendahulu Real dan tiga mata di belakang Barca. Peluang mereka mempertahankan kejuaraan La Liga masih lagi terbuka.

Musim lalu, mereka layak ke final Liga Juara-Juara dan hampir mengatasi Real sebelum kehilangan rentak dan tewas 4-1 pada masa tambahan.

“Sukar untuk kami mengulangi kecemerlangan musim lalu,” kata Simeone. “Musim ini kami sudah kembali berada di landasan baik dan yakin boleh terus meningkat.

“Secara jujur, saya tidak tahu apakah tahap tertinggi yang boleh kami capai musim ini. Impian kami ialah menamatkan musim di kelompok tiga teratas kerana ia penting untuk perkembangan pasukan.”

Satu lagi bukti kesungguhan Atletico ialah mereka semakin hampir menyingkirkan Real dalam saingan Piala Raja apabila memiliki kelebihan 2-0 menjelang pertemuan kedua di Bernabeu, awal pagi esok.

Mereka juga sudah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan akan bertemu Bayer Leverkusen pada aksi timbal balik.

“Atletico semakin hampir berada di posisi yang dihajatkan,” kata Simeone. “Saya rasa kami lebih baik berbanding musim lalu dan ia sesuatu yang sangat disukai semua jurulatih.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:34 AM