Juara Suara Viral (SV), Farah Noorasikin Abdul Rahim.  FOTO Ihsan Astro
Juara Suara Viral (SV), Farah Noorasikin Abdul Rahim. FOTO Ihsan Astro
Sudirman Mohd Tahir

 

PROGRAM Suara Viral (SV) akhir yang ditayangkan di Astro Prima menobatkan Lans Koperal Angkatan Tentera Malaysia, Farah Noorasikin Abdul Rahim atau Farah selaku juara, semalam.

Ia sekali gus menewaskan empat finalis lain dengan membawa pulang hadiah RM10,000 beserta trofi.

Pada persembahan itu, Farah diberi tugasan menyanyikan lagu I Surrender (Celine Dion) dan Paku nyanyian asal Ara Johari.

Farah berkata, dia bersedia membahagikan masa antara kerjaya tetap dan nyanyian.

"Untuk kerjaya tetap saya akan teruskan juga, tapi untuk ke industri muzik, saya akan kena pandai bahagikan masa. Kiranya saya memang akan teruskan keduanya sekali.

"Cuma, saya kena bersedia untuk kuatkan mental fizikal. Ia amat penting bagi saya. Syukur diberi peluang menyertai SV ini. Soal lagu atau single, tak tefikir lagi. Tapi, sekiranya ada peluang dan rezeki untuk buat single dalam masa terdekat, saya akan cuba keluarkan juga.

"Sejujurnya, saya tak sangka boleh menjadi juara sebab peserta lain pun bagus. Saya amat berpuas hati atas tunjuk ajar guru vokal dan komen daripada pihak juri seperti Kak Misha, Akim, Idayu, Bob dan semua juri. Saya ambil setiap nasihat mereka untuk tampil lebih yakin dan bersemengat," katanya.

Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Hamim Haji Sulaiman (Ameem) yang membawa pulang RM5,000 dan trofi.

Ameem menyanyikan lagu Lembah Kesepian (Haqiem Rusli) dan Jodoh Pasti Bertemu (Afgan).

Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Hamim Haji Sulaiman (Ameem) yang membawa pulang RM5,000 dan trofi. FOTO Ihsan Astro
Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Hamim Haji Sulaiman (Ameem) yang membawa pulang RM5,000 dan trofi. FOTO Ihsan Astro

Sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Mohd Firdaus Mahadzir (Boy) dan Nabilah Mohammad (Bella) yang turut membawa pulang wang tunai dan trofi.

Tempat ketiga Suara Viral, Mohd Firdaus Mahadzir (Boy). FOTO Ihsan Astro
Tempat ketiga Suara Viral, Mohd Firdaus Mahadzir (Boy). FOTO Ihsan Astro

Kejutan buat peserta akhir apabila terdapat penyingkiran selepas persembahan lagu pertama mereka. Koperal Pemerhati Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fairuzziha Hazwany Mohammad Yusoff atau Soffwany diumumkan tersingkir sekali gus gagal merebut sebarang tempat.

SV akhir turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta yang menyanyikan lagu 7 Nasihat.

PEMENANG tempat keempat,  Nabilah Mohammad (Bella). FOTO Ihsan Astro
PEMENANG tempat keempat, Nabilah Mohammad (Bella). FOTO Ihsan Astro

Barisan juri tetap pula terdiri daripada penyanyi hebat, Misha Omar dan Akim Ahmad serta juri jemputan, Datuk Awie.

SV yang memulakan episod pertama pada 17 Jun lalu menampilkan pengacara, Datuk AC Mizal dan dibantu oleh penyanyi, Marsha.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:33 PM