KHAIRIL Mikhail yang menerima rawatan di HTJ.
KHAIRIL Mikhail yang menerima rawatan di HTJ.

Seremban: “Keadaan anak saya yang dulunya obesiti kerana berat badannya naik mendadak setiap bulan, kini makin susut akibat diserang sawan,” kata Yusnurlina Mohd Yusof, 26, ibu Khairil Mikhail Khairul Syafiq, 2, yang menghidap jangkitan kuman pada paru-paru sejak berusia 25 hari.

Yusnurlina berkata, berat badan anaknya itu mulai susut pada November lalu iaitu daripada 18 kilogram (kg) kepada 9.5kg dan kini, akibat sawan yang dialaminya, dia sering tidur dan kurang minum susu.

Katanya, lebih membimbangkan apabila Khairil Mikhail mula menggigil dan sesak nafas bermula Rabu lalu menyebabkan dia dan suaminya, Khairul Syafiq Nor Azmi, 28, membawanya untuk rawatan di Hospital Tampin.

“Namun, keadaannya masih tidak berubah walaupun diberi bantuan oksigen menyebabkan pihak hospital merujuknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

“Sehingga kini, Khairil Mikhail bergantung sepenuhnya pada bantuan mesin oksigen dan saya tidak pasti sampai bila keadaannya pulih seperti sedia kala,” katanya di HTJ, semalam.

Sebelum ini, Harian Metro pernah menyiarkan laporan mengenai Khairil Mikhail yang menghadapi masalah obesiti menyebabkannya dia mengalami ketidakupayaan fizikal pada 7 Februari tahun lalu.

Yusnurlina berkata, anaknya masih bergantung pada susu sebagai makanannya, namun doktor mencari susu khas yang mempunyai kandungan zat yang lebih disebabkan anaknya semakin meningkat usia.

“Doktor memberitahu kandungan zat daripada susu yang diminum kini tidak dapat menampung keperluannya yang semakin membesar dan mereka masih mencari susu yang bersesuaian.

“Selain itu, anak saya ini turut bermasalah penglihatan kerana matanya tidak dapat fokus. Doktor mata akan memeriksa kesesuaian otak anak saya terlebih dulu bagi mengetahui dia sesuai memakai cermin mata atau tidak,” kata suri rumah ini.

Katanya, suaminya yang berkerja di sebuah pasar raya di Tampin hanya berpendapatan RM1,200 sebulan tidak mencukupi bagi menampung mereka sekeluarga.

“Saya turut memperoleh bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan dan kami turut menanggung dua anak lagi iaitu Kyairiel Mukhri, 6, dan Kyairina Qistina, 4.

“Saya mengharapkan bantuan orang ramai bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

”Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh memasukkan dalam akaun Maybank 154044844693 atas nama saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:45 AM