PENDUDUK, Siti Aishah Abdul Hamid menunjukkan keadaan rumahnya yang dilanda ribut di Permatang Kuang, Kepala Batas, P Pinang. FOTO Zulfa Mohamad
PENDUDUK, Siti Aishah Abdul Hamid menunjukkan keadaan rumahnya yang dilanda ribut di Permatang Kuang, Kepala Batas, P Pinang. FOTO Zulfa Mohamad
Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: "Saya tergamam sebaik ke dapur kerana hanya nampak langit. Bumbung tak tau kat mana," kata ibu tunggal, Siti Aishah Abdul Hamid, 70, antara mangsa ribut di Permatang Kuang, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang, Siti Aishah yang bersendirian dan berehat di ruang tamu sebelum terdengar angin kencang disusuli hujan renyai.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat di dapur lalu bergegas melihat apa yang berlaku. Sergamam beberapa minit apabila tengok bumbung dah hilang," katanya selepas dikunjungi Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, semalam.

Turut sama, Pegawai Kemajuan negeri, Syed Shaari Syed Abdullah dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membuat penilaian kerosakan rumah mangsa ribut.

Rumah Siti Aishah antara lebih 50 kediaman yang dilanda ribut sekitar Seberang Prai Utara, petang semalam, termasuk 42 kediaman dalam Parlimen Tasek Gelugor.

Siti Aishah berkata, ribut yang melanda petang kelmarin antara paling buruk di kampung berkenaan sejak berpuluh tahun lalu.

"Sehingga ini, lutut saya masih menggigil kerana tidak pernah berdepan keadaan menakutkan seperti kelmarin," katanya.

Penduduk, Zabidin Ayob, 54, berkata sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin sejauh 50 meter dan ketika itu dia tiada di rumah.

"Hanya tiga anak berusia 10 hingga 18 tahun berada di ruang tamu namun mujur mereka sempat menyelamatkan diri ketika bumbung diterbangkan angin," katanya.

Sementara itu, Reezal berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan memanggil kontraktor bagi membaiki bumbung rumah penduduk yang rosak.

Katanya, beliau meminta kontraktor memberi keutamaan pada dua rumah yang rosak teruk di Permatang Kuang bagi membolehkan penghuninya tinggal dalam keadaan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 3:39 PM