Teks dan gambar Nor Amalina Alias

Mengambil keputusan mahu belajar setakat tingkatan tiga kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan bukan satu tindakan luar biasa yang dibuat usahawan muda, M Hariff Che Mat, 38.

Sebaliknya, apa yang lebih luar biasa apabila dia terjun dalam perniagaan produk yang langsung tidak berkaitan dengan keperluannya sebagai lelaki iaitu tudung!

M Hariff berkata, dia menubuhkan syarikat Artie Fesyen Textile dengan jenama tudung Artie Natasha dan Tudung Bawal Artie selepas dicabar arwah bapanya, Che Mat Daud ketika dia menyatakan hasrat mahu berhenti sekolah dan mahu serius dalam bidang perniagaan.

Selepas itu dia nekad dan mula bekerja di kedai menjual tudung di Kota Bharu selain menjual tudung secara kecil-kecilan di pasar malam selama lebih 20 tahun.

“Ketika berniaga di pasar malam, saya pernah dicemuh menjual tudung yang hanya layak di pakai ‘bibik’ atau orang gaji memandangkan waktu itu fesyen tudung sedia dipakai belum dikenali ramai, namun saya pekakkan telinga. Selepas yakin dengan pengalaman dan simpanan yang ada, saya mengeluarkan tudung jenama sendiri di bawah nama Natasha pada 2007,” katanya ketika ditemui di Butik Dunia Tudung Artie Natasha di Jalan Merbau, dekat sini.

Katanya, hasil semangat tidak berputus asa, dia mampu tersenyum bangga dengan produk tudungnya yang kini mempunyai dua cawangan iaitu di 460, Seksyen 7, Jalan Merbau dan 365/G, Tingkat Bawah, Jalan Temenggung, Kota Bharu, Kelantan.

Cawangan pertamanya itu dibuka pada 2011 dengan modal RM24,000 hasil duit yang dikumpul sejak menceburi perniagaan tudung dan menjenamakan tudungnya daripada Natasha kepada Artie Natasha ke arah jenama yang lebih eksklusif.

“Sehingga kini, Artie Natasha mempunyai lebih 100 rekaan daripada pelbagai corak dan material seperti tudung sedia dipakai atau sengkuap, bawal, sifon, lycra, kapas, musrete, crepe, jojet dan banyak lagi,” katanya.

Menurut usahawan muda ini, dia berminat untuk menceburi perniagaan tudung kerana melihat wanita mempunyai kuasa beli yang tinggi selain melihat kecantikan kaum Hawa lebih terserlah apabila mengenakan hijab.

“Oleh itu, di Artie Natasha, kami masih mengekalkan harga yang mampu dimiliki semua golongan wanita. Walaupun harga tudung kami agak murah, tetapi kami menawarkan rekaan terkini dengan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga rekaan baru setiap minggu bagi mengikut minat semasa,” katanya yang mendapat sokongan isteri tercinta, Che Sayati Rashid, 39.

Dia juga bertuah kerana turut memiliki rakan karib dan juga pekerjanya, Asri Rahimi yang bertindak sebagai Penasihat Pembangunan Perniagaan dan IT, Nasrun Zakaria di Bahagian Media dan Promosi, Nor Yusnaini Yaacob di Bahagian Pengurusan dan Operasi serta adik iparnya Rohani Rashid yang banyak membantu dari segi idea rekaan yang berperanan menaikkan lagi nama Artie Natasha sehingga mampu berdiri kukuh seperti sekarang.

Apa yang unik berkenaan tudungnya adalah ia direka dan dibuat khas oleh syarikatnya yang menggajikan 100 ibu tunggal dan suri rumah sekitar Kota Bharu. Ia secara tidak langsung memberi peluang pendapatan kepada mereka.

“Kami belikan mesin jahit untuk mereka. Apabila mempunyai rekaan baru, kami akan ajar mereka cara untuk menjahit mengikut ke hendak rekaan dan kami berbangga kerana setiap ibu tunggal berkenaan mampu menjahit 40 helai tudung sehari, sekali gus membantu mereka memperoleh pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya yang mengakui dia tidak pandai menjahit meskipun sudah terbabit dalam perniagaan ini sekian lama.

Beliau berkata, hasil idea kreatif itu, dia bukan saja dapat memberi khidmat sosial kepada masyarakat setempat, malah mampu mengurangkan kos operasi. Ia membolehkannya menjual tudung keluaran syarikatnya dengan harga yang lebih murah. Sambil tersenyum dia memberitahu, ada tudung yang dijual dengan harga serendah RM5!

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, selain menawarkan harga yang murah dan mampu milik, koleksi tudung yang dijual Artie Natasha mudah dipakai, sengkuap yang dipasang tidak mudah rosak, selesa dan labuh sehing­ga menutup dada seiring dengan syariat agama.

Lebih unik, jika kebanyakan tudung seng­kuap digabungkan dengan pelbagai warna dan kerongsang, tudung Artie Natasha pula menggabungkan dua jenis bahan kain yang berlainan seperti kain kemeja-T dan sifon dan sifon bersama lycra untuk hasil tudung yang lebih menarik. Antara tudung yang dijual adalah halfmoon, hoodie, bawal sequin, halfmoon butterfly, dua lapis dan banyak lagi.

“Selain itu, tudung Artie Natasha juga dikenali dengan gabungan bersama hiasan sulaman Kristal menggantikan kerongsang yang direka dengan pelbagai bentuk seperti bunga dan rama-rama,” katanya.

Katanya, setiap rekaan barunya mendapat sambutan yang cukup laris termasuk tudung ‘Lady Diana’ yang baru dikeluarkan bulan lalu sudah terjual lebih 2,000 helai dalam tempoh tiga hari jualan.

Selain untuk jualan harian, Artie Natasha turut dijual secara borong dan sudah dipasarkan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak serta ke negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura.

Di dalam negara, tudung Artie Natasha boleh didapati di Plaza City One, Kuala Lumpur; Pasar Datuk Kailan, Pulau Pinang dan Bandar Kota Tinggi, Johor.

M Hariff yang juga anak ke-11 daripada 12 beradik kepada pasangan Che Mat dan Siti Nor Hussin, 78, berkata, sepanjang pembabitannya dalam perniagaan ini, masalah ciplak atau meniru rekaan adalah ujian paling mencabar.

“Bagaimanapun kita harus mempunyai hati yang kuat dan minat mendalam dengan apa yang kita lakukan barulah kita tidak mudah berputus asa,” katanya.

Dia mengakui ‘jatuh cinta’ pada perniagaan yang diusahakannya ini.

Selain boleh mengunjungi bilik pameran di kedainya, peminat tudung boleh mendapatkan lebih maklumat mengenai Artie Natasha melalui laman sesawang www.artienatasha.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 1:22 PM