FOTO Amrullah Abdul Karim
FOTO Amrullah Abdul Karim
FOTO Amrullah Abdul Karim
FOTO Amrullah Abdul Karim
Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Sebuah rumah kosong yang dijadikan gelanggang sabung ayam sejak tiga tahun lalu diserbu pihak berkuasa di taman perumahan Bukit Sentosa, Bukit Beruntung pagi tadi.

Operasi Sita Ayam Sabung yang bermula kira-kira 9.30 pagi itu merampas 31 ayam kampung yang digunakan untuk sabung selain beberapa peralatan termasuk sangkar.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Khairul Nizam Mohamad Khanafi berkata, serbuan dilakukan selepas pemilik rumah itu tidak mematuhi notis arahan yang dikeluarkan MDHS iaitu pengosongan premis yang dijadikan gelanggang ayam sabung.

Menurutnya, kegiatan haram itu terbongkar selepas penduduk membuat aduan berikutan berlaku masalah pencemaran bau busuk selain gangguan lalat.

Katanya, pihak berkuasa yang menerima aduan itu mengemukakan notis pengosongan premis yang dijadikan gelanggang pertarungan namun diingkari pemiliknya.

"Susulan itu, pagi tadi pihak berkuasa membabitkan MDHS dan polis mengambil tindakan dengan menyita peralatan serta 31 ekor ayam termasuk baka yang dipercayai dijadikan ayam sabung," katanya.

Menurutnya, ketika serbuan premis berkenaan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 3:55 PM