SUHAIMI (tengah) bersama kru Panorama.
SUHAIMI (tengah) bersama kru Panorama.
Oleh Nor Akmar Samudin


Geneva yang terletak di Switzerland ialah bandar raya global. Di situlah terletaknya pusat kewangan dunia dan ibu pejabat pertubuhan bertaraf antarabangsa termasuk agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

Geneva juga memiliki pelbagai kerakyatan dalam kalangan penduduknya. Dari benua Eropah hingga ke benua Afrika dan Asia, semuanya boleh ditemui di situ.

Program majalah

di RTM, Panorama dijemput merakamkan kejayaan anak Malaysia di dunia perniagaan antarabangsa di sana, baru-baru ini.

Syarikat itu, Masers Energy Energy yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman menerima Anugerah Bintang Untuk Kualiti daripada Presiden Business Initiative Directions (BID), Jose E Prieto.

Pengiktirafan yang diterima Masers Energy Malaysia itu membabitkan aspek kualiti pengurusan khususnya dalam dua projek mega yang bakal dijalankan di negara ini iaitu Projek Malaysia Bandar Raya Bergrid Pintar 2030 dan Melaka Bandaraya Bebas Karbon 2030.

Majlis penganugerahan itu ditayangkan menerusi program Panorama dalam episod Masers Energy di Persada Global terbitan Rosli Mohd Nordin jam 11 malam ini di TV1.

Rosli berkata, kesempatan berada di Geneva membolehkan kru Panorama merakam susur galur visual banda raya yang terkenal dengan kos sara hidup antara tertinggi di dunia itu.

“Pemandangan di setiap sudut seperti bangunan dan infrastruktur dirancang begitu rapi. Ini ditambah dengan kebersihan dan udara nyaman yang memberi nilai tambah kepada Geneva. Tidak hairanlah, ramai pelancong asing berkunjung ke Geneva semata-mata merasai sendiri pengalaman itu.

“Jika sebelum ini, kami hanya berkesempatan membuat pengambaran di Jepun, Itali, Belanda dan Turki, ternyata Geneva juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Tidak saya nafikan, Geneva juga destinasi percutian yang ideal dan amat sesuai untuk dikunjungi, namun pastikan anda mempunyai bajet yang besar bagi menikmati percutian di sana,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pihaknya berbangga kerana menjadi syarikat pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara menerima anugerah bertaraf dunia itu.

“Segala usaha dan kerja keras saya selama sebelas tahun kini mendatangkan hasil. Semangat 1Malaysia dalam diri saya sangat tinggi dan berbangga dapat membawa nama Malaysia di peringkat dunia,”

katanya.

Penganugerahan yang diterima Masers Energy Malaysia adalah hasil daripada penyelidikan dan analisis yang dijalankan Quality Hunters (pemimpin, usahawan dan pakar dalam kualiti) yang dipantau BID untuk mengiktiraf syarikat itu dalam aspek kepemimpinan, kualiti dan kecemerlangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:19 PM