Kuala Lumpur: Masers Energy Malaysia Sdn Bhd (Masers Energy), syarikat milik penuh Masers Energy Inc akan melabur sebanyak RM3.3 bilion (AS$1 bilion) untuk melancarkan dua projek mega awal tahun depan iaitu Zon Ekonomi Khas Hijau Melaka (Melaka Green SEZ) dan Bandar Grid Pintar Nasional di Wilayah Iskandar, Melaka dan Kuala Lumpur.

Kedua-dua projek mega itu yang menggunakan teknologi Grid Pintar untuk kecekapan tenaga akan menjadikan Masers Energy sebagai penyedia utiliti nasional kedua di Malaysia dalam penjanaan tenaga bersih dan pembekal bahan api kelima dalam sektor pengangkutan bagi menggantikan minyak dan gas sebagai bahan bakar.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Masers Energy, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin projek itu akan disokong menerusi jaminan kerajaan sebanyak RM99 bilion (AS$30 bilion) bagi membiayai kedua-dua projek yang mengintegrasikan teknologi digital Bandar Grid Pintar, sekali gus mengurangkan kesan karbon serta membangunkan persekitaran karbon sifar.

Beliau berkata, inisiatif itu boleh menyokong peralihan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi memandangkan pertambahan pelaburan langsung asing ke dalam rantaian bekalan tenaga bersih mampu menyumbang lebih RM100 bilion setahun kepada KDNK negara.

“Masers Energy sudah memperoleh modal sebanyak RM3.3 bilion (AS$1 bilion) untuk pusingan pertama pelaburan tenaga bersih dan dana berkenaan kini tersedia di bank tempatan untuk memulakan projek berkenaan.

“Modal sebanyak RM3.3 bilion akan digunakan untuk memulakan pembangunan dan pembinaan Melaka Green SEZ pada awal Januari 2015 dan sebahagian daripada pelaburan itu akan digunakan untuk melancarkan perkhidmatan tenaga baru di Wilayah Iskandar dan Kuala Lumpur yang merangkumi perkhidmatan tenaga bersih serta kenderaan elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Wilayah Iskandar pula mempunyai potensi untuk memulakan penggunaan utiliti tenaga bersih baru untuk pengguna di Johor dan mengurangkan sehingga separuh bil tenaga bulanan manakala Kuala Lumpur akan mempunyai 5,000 stesen pengecas kereta elektrik.

“Melalui kedua-dua projek ini, jumlah penjimatan dan pendapatan negara dianggar mencecah kira-kira RM3 trilion yang dijana menerusi perdagangan karbon dan cukai karbon dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Ini kerana penggunaan tenaga semasa Malaysia dianggarkan pada kadar 90,000 gigawatt sejam (GWh) dengan peningkatan antara 3.5 hingga 5.0 peratus setiap tahun dan jika trend ini berterusan, permintaan tenaga negara akan mencapai kadar 140,000 GWh pada 2020 dan ia akan memberi tekanan besar kepada jumlah keseluruhan pengurusan serta penjanaan kuasa nasional,” katanya.

Suhaimi berkata, dengan Teknologi Grid Pintar, penggunaan tenaga Malaysia akan dikurangkan sebanyak 70 peratus pada 2020 kerana ketika ini, sekurang-kurangnya 77 peratus daripada penggunaan tenaga isi rumah disubsidi oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, kedua-dua projek mega itu juga akan mewujudkan kira-kira 24 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai industri dan sektor berkaitan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:16 AM