Petaling Jaya: LBS Bina Group Berhad (LBS) memperkenalkan projek terbarunya, pembangunan kediaman Corallia di D’ Island Residence dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM240 juta.

Pengarah Urusan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, Corallia yang terletak di Puchong dirancang dan direka berdasarkan konsep perumahan mewah dengan kawasan pembinaan seluas 3,968 kaki persegi.

Beliau berkata, visi LBS untuk menyediakan rumah yang memenuhi keperluan pembeli daripada semua lapisan masyarakat yang berbeza agama.

“Corallia yang eksklusif dapat menarik pembeli hartanah dan pelabur yang menggemari kehidupan mewah serta berkualiti. Dengan prinsip asas ini, kami mengutamakan perincian dalam setiap perancangan demi memastikan Corallia menawarkan pengalaman kehidupan istimewa dan lestari kepada pembelinya.

“Sebagai bukti, Fasa 1 projek ini habis dijual sejak pra pelancarannya dan Fasa 2 pula mencapai 32 peratus kadar jualan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek pembangunan itu menyediakan gaya hidup unik seolah-olah di pulau serta tasik yang mengelilingi perumahan dan pemandangan indah matahari terbenam. Pembangunan Corallia berharga dari RM1.63 juta dan ke atas dan mempunyai dua fasa membabitkan 86 serta 56 unit. Ia turut menyediakan rumah kelab dan lampu jalan cekap tenaga serta sistem penuaian air hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:06 AM