Guenzel dipenjara lapan setengah tahun.
Guenzel dipenjara lapan setengah tahun.

Dresden (Jerman): Seorang bekas polis dipenjara lapan tahun enam bulan kerana membunuh seorang mangsa yang dikenalinya menerusi laman web peminat kanibal.

“Dia didapati bersalah kerana membunuh dan mengganggu ketenteraman si mati,” kata ketua hakim Birgit Wiegand di mahkamah, di sini.

Detlev Guenzel, 57, mula dibicarakan pada Ogos lalu atas tuduhan membunuh perunding perniagaan kelahiran Poland, Wojciech Stempniewicz di kediaman mangsa di bandar Hartmannsdorf-Reichenaum, berhampiran sempadan Czech pada November 2013.

Tertuduh hanya berdiam diri sambil memeluk tubuhnya ketika hakim membacakan keputusan.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Guenzel mencincang mayat Stempniewicz di belakang rumah, tetapi tidak ada bukti menunjukkan dia makan daging mangsa.

Pendakwa raya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 setengah tahun sementara peguam mewakili keluarga Stempniewicz mohon hukuman 15 tahun.

Kedua-dua berkenalan pada 2013 menerusi laman web peminat kanibal yang didakwa mempunyai 3,000 ahli berdaftar. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:38 AM