PANTAI Teluk Kemang, Port Dickson kembali meriah dengan pengunjung. FOTO Arkib NSTP
PANTAI Teluk Kemang, Port Dickson kembali meriah dengan pengunjung. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Port Dickson: Polis Port Dickson menjangkakan 'limpahan' seramai 30,000 pelancong bakal mengunjungi pusat peranginan di sini pada hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pemantauan 24 jam akan dilakukan terutama di kawasan pantai bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita akan tingkatkan pemantauan di kawasan pantai yang menjadi tumpuan ramai terutama di Pantai Batu 4, Pantai Batu 1 dan Dataran Teluk Kemang.

"Apabila rentas daerah dibenarkan sebelum ini, hanya penduduk di Negeri Sembilan saja yang bercuti ke sini, Namun kali ini kita jangkakan kehadiran pengunjung dari luar Negeri Sembilan," katanya tadi.

Menurutnya, hanya pengunjung yang lengkap menerima proses vaksinasi Covid-19 sahaja dibenarkan berada di sepanjang pantai di Port Dickson.

Tambahnya, Unit Polis Pelancong akan melakukan pemeriksaan secara rawak melalui aplikasi MySejahtera orang ramai yang berada di kawasan pantai.

"Sebanyak 21 pasukan pemantauan SOP akan ditugaskan yang mana mereka akan ditempatkan di kawasan pantai bersama penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain memeriksa MySejahtera, kami turut memberi penekanan terhadap pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menganggu kelancaran lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:26 PM