GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nabil Basaruddin


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan potongan harga 50 peratus untuk yuran pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh antara 15 Mac hingga 15 Mei 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, dengan tawaran itu, pemegang unit ASNB hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM90 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pemegang unit Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pemegang unit bukan Islam) meliputi semua unit amanah ASNB, berbanding harga biasa RM180.

Beliau berkata, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah membolehkan pemegang unit menamakan sehingga 10 penerima untuk mewarisi pelaburan unit amanah ASNB mereka.

“Berbeza dengan konsep penama yang mana penama hanyalah wasi atau pentadbir, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan penerima sebagai penerima mutlak untuk wang yang ditinggalkan pemegang unit.

“ASNB berharap pemegang unit akan mengambil langkah segera untuk menetapkan penerima bagi pelaburan dalam unit amanah ASNB supaya proses tuntutan oleh waris dapat dipermudahkan.

“Tanpa Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, unit amanah ASNB akan menjadi harta pusaka dan perlu diurus mengikut saluran ditetapkan termasuk keperluan mendapatkan surat kuasa, yang biasanya agak mengambil masa.

“Proses tuntutan juga dipermudah yang mana ia mengambil masa 21 hari dari tarikh tuntutan dikemukakan dan tuntutan boleh dibuat di mana-mana Cawangan ASNB,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohammad berkata, penerima tidak terhad kepada waris saja dan pemegang unit boleh menamakan individu yang dirasakan layak sebagai penerima, termasuk anak angkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:28 PM