WAKAF ASNB adalah langkah proaktif bagi PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.
WAKAF ASNB adalah langkah proaktif bagi PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, memperkenalkan perkhidmatan baharu Wakaf ASNB.

Perkhidmatan ini menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat bagi membolehkan pelabur ASNB mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.

Wakaf ASNB berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan untuk menyimpan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.

Pulangan itu kemudian akan disalurkan kepada projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, Wakaf ASNB adalah langkah proaktif bagi PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

"Selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) Wakaf ASNB membuka peluang kepada pelabur untuk melabur sambil beramal.

"Wakaf ASNB juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan yang pelbagai serta kemudahan perwarisan melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah," katanya dalam satu kenyataan.

Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang sudah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbir aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB).

Pelantikan ini membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek pembangunan ummah dan masyarakat bagi pihak pewakaf.

Kini, semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB mulai semalam, di semua cawangan ASNB seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 iaitu mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan Wakaf ASNB, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 atau layari laman web Wakaf ASNB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:00 AM