Semua 30 cawangan ASNB akan beroperasi pada Sabtu minggu ketiga setiap bulan. FOTO HIASAN
Semua 30 cawangan ASNB akan beroperasi pada Sabtu minggu ketiga setiap bulan. FOTO HIASAN
Muhd Izawan Baharin


Kuala Lumpur: Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di seluruh negara akan beroperasi pada Sabtu minggu ketiga setiap bulan bermula 21 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin berkata, ia bagi memudahkan pelabur dan orang ramai yang tidak berkesempatan berurusan dengan ASNB pada hari bekerja.

“ASNB menyediakan kemudahan ini kerana kami memahami kesukaran pelabur dan orang ramai berurusan dengan ASNB pada hari biasa. Kami harap pelabur dan orang ramai akan mengambil kesempatan berurusniaga pada Sabtu ketiga ini untuk merancang kewangan bersama kami,” katanya dalam kenyataan tadi.

Semua 30 cawangan ASNB akan beroperasi mulai jam 8.15 pagi hingga 4 petang bagi semua transaksi unit amanah dan perkhidmatan termasuk urus niaga tunai dan bukan tunai.

Antara urus niaga yang boleh dilakukan termasuk pelaburan unit amanah ASNB seperti ASB, ASB2, ASM, AS1M, ASW 2020, ASN, ASD, ASN2, ASN3 dan ASG, pelaburan menerusi Skim Ahli KWSP, pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

Pelabur juga boleh mengemaskini buku pelaburan, alamat dan butiran peribadi serta menukar atau menggantikan buku pelaburan.

Pada hari dan minggu sama setiap bulan, ASNB juga menganjurkan Seminar Pelaburan 360 Hari secara percuma di Menara PNB, Jalan Tun Razak, di sini.

Menerusi seminar yang disampaikan perancang kewangan bertauliah, peserta berpeluang memantapkan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 6:48 PM