Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BDKL) akan memberi pertimbangan untuk menaik taraf beberapa kemudahan di sekitar bandaraya untuk masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kemudahan berkenaan termasuk kemudahan perpustakaan.

Beliau meminta persatuan berkaitan OKU memberi cadangan untuk peningkatan kemudahan lain.

“Ada beberapa perkara yang akan diberi perhatian dan perancangan kemudahan untuk OKU,” katanya.

Beliau berkata pada sesi dialog antara Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Pihak Berkepentingan, di sini, hari ini.

DBKL juga sedang meneliti mekanisma membantu perkara yang berkaitan dengan permasalahan OKU, termasuk dalam kemudahan pembinaan bangunan baru.

Menyentuh kemudahan lain, beliau berkata DBKL juga menyediakan lesen-lesen untuk OKU berniaga umpamanya salon urut yang kini berkembang dan popular. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:22 PM