Lucerne: Switzerland merosakkan penampilan ke-100 ketua pasukan Estonia Ragnar Klavan apabila mudah membenam pasukan itu 3-0 dalam saingan kelayakan Euro 2016 semalam.

Fabian Schaer, Granit Xhaka dan Haris Seferovic menjaringkan gol buat Switzerland sekali gus menjadi kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan E dan mencerahkan peluang layak ke Perancis tahun depan.

Schaer memecah kebuntuan pada minit ke-17 dengan tandukan menarik hasil hantaran lintang Xherdan Shaqiri dan Xhaka merembat masuk gol 10 minit kemudian.

Switzerland dilihat hilang arah pada separuh masa kedua tetapi Seferovic mengesahkan kemenangan pasukannya menerusi gol ketiga 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan itu membolehkan Switzerland menyertai Slovenia di tempat kedua Kumpulan E dengan memungut sembilan mata.

Klavan, 29, yang beraksi di Bundesliga mula mewakili Estonia sejak 2003. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:12 AM