BARCA beli Suarez dengan harga RM323 juta.
BARCA beli Suarez dengan harga RM323 juta.
Reuters

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Luis Enrique percaya hanya beberapa pemain saja mampu menjaringkan gol seperti Luis Suarez yang memberikan mereka kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid dalam perlawanan Clasico La Liga kelmarin.

Suarez agak perlahan untuk menyesuaikan diri di Barca selepas dihukum gantung empat bulan kerana menggigit pemain lawan, tetapi jaringan kemenangan ketika menentang Real menunjukkan kemampuannya untuk membantu pasukan menjulang trofi musim ini.

Dia berjaya memungut hantaran jauh Dani Alves dan sentuhan keduanya menghasilkan satu rembatan deras menumpaskan penjaga gol, Iker Casillas.

“Ia adalah gol yang mampu dilakukan oleh pemain terbaik dunia. Berdasarkan cara dia mengawal bola dan melepaskan rembatan.

“Itulah sebabnya kami membayar mahal untuk mendapatkannya. Ia bukan hanya disebabkan perkara itu, tetapi sikap, usaha dan apa yang mampu disumbangkan kepada pasukan.

“Saya gembira dia seorang pemain berkebolehan dan memberikan kesan terhadap sesuatu perlawanan. Saya sudah berkata perkara ini sejak sekian lama dia bukan seorang penyerang tulen, tetapi mempunyai pakej lengkap.

“Dia penjaring gol, seseorang yang mampu mencipta peluang dan juga mempunyai fizikal yang kuat,” kata Enrique.

Selepas berpindah dengan nilai 81 juta Euro (RM323 juta) dari Liverpool, pemain kelahiran Uruguay itu hanya memberi sedikit impak, ketika tumpas di tangan Real di Bernabeu.

Dalam perlawanan ulangan itu, dia berjaya mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo melalui gol hebat di separuh masa kedua untuk membantu Barca memiliki kelebihan empat mata di tangga teratas La Liga tatkala berbaki 10 perlawanan.

Selepas mencatat 18 kemenangan dari 19 perlawanan, Barca juga berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dan akan berentap di saingan akhir Piala Raja Sepanyol.

Mereka membuka jaringan ketika menentang Real kelmarin menerusi tandukan pertahanan, Jeremy Mathieu.

“Corak permainan sesebuah kelab bergantung kepada pemain yang anda miliki. Kami mahu menguasai sepenuhnya bola di atas padang tetapi cara anda bermain juga bergantung kepada pasukan lawan dan ia sukan yang kompleks di mana anda perlu ada beberapa pilihan.

“Kami sekarang ini berada di kedudukan yang kami mahukan di dalam liga, tetapi saya tidak suka spekulasi bahawa kami sudah juara, kerana saingan masih lagi panjang,” kata Enrique.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:27 AM