Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Shah Alam: Drama `Rindu Awak 200%’ cemerlang apabila meraih empat kemenangan dalam Anugerah Drama Festival KL 2015 (DFKL 2015) anjuran TV3 dan TV9 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre, di sini, malam tadi.

Menepati jangkaan ramai, Zul Ariffin mengungguli kategori Pelakon Lelaki Pilihan mengatasi Aeril Zafrel (Cerita Cinta Kita), Shukri Yahya (Menjinak Ombak), Aiman Hakim (Selamat Pengantin Madu) dan Shaarnaz Ahmad (Setitis Kasih Darmia).

Drama ini juga mengangkat pengarahnya, Aidilfitri Mohamed Yunos sebagai pemenang kategori Pengarah Drama Pilihan, Nieza Zahar (kategori Penulis Skrip Pilihan) serta kemenangan utama sebagai pemenang kategori Drama Pilihan.

Bagaimanapun, momentum ini gagal diteruskan oleh Ayda Jebat apabila tewas kepada Amyra Rosli yang menyerlah dengan drama Kristal Maya.

Bintang baru ini membuat kejutan apabila menewaskan nama-nama besar lain seperti Nelydia Senrose (Setitis Kasih Darmia), Fasha Sandha (Selamat Pengantin Madu) dan Nur Risteena.

Kategori Hero & Heroin pilihan pula menjadi milik pasangan Shaarnaz Ahmad dan Nelydia Senrose menerusi drama Setitis Kasih Darmia manakala kategori Barisan Pelakon Pilihan dimenangi Fasha Sandha, Aiman Hakim Ridza, Eina Azman, Kuza, Falisha Crossley dan Ieda Moin menerusi drama Selamat Pengantin.

Sementara itu, kategori Drama Pendek Pilihan pula dimenangi Muhamad Haizad Hashim menerusi drama Luahan Abah.

Tempat kedua menjadi milik Mohamad Al Hafiz Burhanuddin (Telefon Pintar) dan ketiga Mohd Faliq Mohd Sharif (Azmir Nak Jadi Produser).

DFKL 2015 dihoskan AG dan Yana Samsudin dan turut disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 1:03 AM