ZUL Ariffin memenangi kategori Pelakon Lelaki Pilihan.
ZUL Ariffin memenangi kategori Pelakon Lelaki Pilihan.
KATEGORI Hero & Heroin Pilihan dimenangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.
KATEGORI Hero & Heroin Pilihan dimenangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.
MUHAMAD Haizad Hashim memenangi kategori Drama Pendek.
MUHAMAD Haizad Hashim memenangi kategori Drama Pendek.
BARISAN pelakon dan produksi Rindu Awak 200%.
BARISAN pelakon dan produksi Rindu Awak 200%.
Oleh Michelle Gun

Malam kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Sabtu lalu berjaya meraih 4.6 juta penonton.

Bersiaran secara langsung menerusi saluran TV3, Hip TV dan TV9, acara itu dihadiri lebih 2,000 peminat. Statistik atas talian mencatatkan lebih 33,089 penonton bagi acara penyampaian anugerah dan karpet merah di laman web rasmi DFKL dan Tonton.

Malah, lebih empat juta pengguna berbincang mengenai DFKL 2015 di media sosial Twitter, Instagram dan Facebook, sekaligus menjadikan acara itu ‘trending’ di seluruh dunia. Laman web Tonton pula sehingga kini mencatat sebanyak 8,888 tontonan dan jumlah itu dijangka meningkat.

Sesi bengkel DFKL 2015 pada 14 dan 15 Mac lalu membabitkan seramai 16 karyawan hebat dan berpengalaman antaranya Datuk Yusof Haslam, Sheila Rusly, Remy Ishak, Adi Putra dan Mamat Khalid.

Ia adalah insiatif TV3 dan TV9 sebagai platform kepada karyawan untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka dalam industri seni tanah air kepada orang ramai.

Sementara itu, majlis penganugerahan DFKL 2015 menyaksikan siri drama televisyen popular Rindu Awak 200% mengunguli empat anugerah.

Drama arahan Aidilfitri Mohamed Yunos itu merangkul kategori Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Drama Pilihan, Pengarah Drama Pilihan dan Penulis Skrip Pilihan.

Tahun lalu, DFKL menyaksikan drama bersiri Love You Mr Arrogant mengungguli tiga anugerah iaitu Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan dan Pasangan Hero & Heroin Pilihan.

Manakala juara drama pendek DFKL 2015 dimenangi Muhamad Haizad Hashim menerusi karya yang berjudul Luahan Abah, sekali gus membawa pulang hadiah wang, RM10,000.

Tempat kedua disandang Mohamad Al Hafiz Burhanuddin menerusi karya berjudul Telefon Pintar. Dia menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

Bagi tempat ketiga pula dimenangi Mohd Faliq Mohd Sharif menerusi drama pendek berjudul Azmir Nak Jadi Produser dan dia menerima wang tunai RM3,000.

Acara tahun lalu menyaksikan Singh Susu ciptaan Azmir Affandi diangkat juara drama pendek DFKL 2014. Drama itu kemudiannya diterbitkan sebagai telemovie dan ditayangkan di TV3 sempena Hari Kemerdekaan tahun lalu.

Malam kemuncak DFKL 2015 diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya Fathiya Latiff, Aiman Hakim Ridza, Najwa Latif, Sham Kamarul, Azmir dan Sarah Mentor Legend serta Black.

Penyampai anugerah ialah Zul Ariffin, Nelydia Senrose, Ungku Ismail, Siti Elizad, Sharnaaz Ahmad, Izreen Azminda, Kamal Adli, Amyra Rosli, Yusof Haslam dan Datin Paduka Umie Aida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:09 AM