Jika remaja perempuan suka menggayakan tudung dengan pelbagai fesyen terkini, FATIN FARHANA JAPRE pasti remaja lelaki juga tidak mahu ketinggalan menggayakan fesyen rambut terkini supaya sentiasa kelihatan bergaya apabila keluar bekerja, ke kolej mahupun bersiar-siar.

Semua orang tahu, fesyen rambut satu trend yang berkembang sejak ribuan tahun dulu. Memang tidak dinafikan dalam fesyen mahkota kepala, ia biasa­nya dijuarai oleh perempuan. Bagaimanapun, dalam arus kemodenan hari ini nampak­nya lelaki juga sudah semakin sensitif dengan fesyen rambut.

Percaya atau tidak remaja lelaki sering menghadapi masalah apabila tiba di kedai gunting rambut. Masalah apakah agaknya? Apabila tukang gunting bertanya nak gunting stail macam mana, bukan main mereka memerah otak memikirkan fesyen rambut apa yang sesuai. Macam nak jawab soalan peperiksaan sambil mata melilau tengok poster gaya rambut yang tertampal di dinding kedai.

Penulis percaya, semua remaja pernah berhadapan dengan senario ini. Jadi, hari ini penulis ingin berkongsi de­ngan pembaca beberapa gaya rambut mengikut perubahan zaman hingga wujudnya gaya rambut terkini yang lebih trendy dan menjadi ikutan remaja di Malaysia. Manalah tahu ada gaya rambut yang sesuai dengan pembaca.

Gaya Klasik

Gaya rambut yang dibelah kiri atau kanan dan disisir rapi ini selalunya digayakan oleh budak sekolah atau kanak-kanak. Gaya begini jarang ­dilihat remaja masa kini ­meng­gayakannya. Namun, masih ada juga remaja lelaki yang berumur 20-an dan berusia menggayakan rambut sebegini. Kadang-kadang ada yang menggelar mereka 'skema' kerana menggayakan rambut ini.

Gaya Belah Tengah

Dulu, penulis fikir, perempuan saja yang menggayakan rambut belah tengah, rupa-rupanya lelaki pun ada. Masih ingat lagi vokalis kumpulan New Boyz? Ketika nama kumpulan mereka mula-mula menempah nama di persada seni, gaya rambut belah tengah Tomok menjadi ikutan para remaja. Pastikan bentuk muka anda sesuai dengan gaya ini sebelum mencubanya atau anda akan ditertawakan pula nanti.

Gaya Slick Back

Kalau dalam filem Harry Potter, kita boleh lihat watak Draco Malfoy menggayakan rambut ini. Bagi sesiapa yang ingin mencuba gaya ini perlu berfikir banyak kali kerana perlu melabur duit untuk membeli gel rambut yang banyak atau berisiko kulit kepala anda berkelemumur. Walaupun nampak 'simple' tetapi kemas dan cantik sebenarnya namun ia bergantung kepada kesesuaian dan bentuk muka anda.

Gaya Spiky

Gaya ini paling senang untuk digayakan. Letak gel sikit pada rambut, buat pacak guna jari. Siap! Hingga kini, gaya ini masih lagi trendy dalam kalangan pelajar dan menjadi ikutan kanak-kanak lelaki. Betapa trendy gaya inikan? Nak buat gaya ini, kena gunting layer baru 'smart'. Paling tak seronok apabila anda buat gaya spiky, kemudian pakai topi keledar. Habis rosak gaya rambut. Ia membazir masa nak kena pergi tandas buat gaya yang sama semula.

Gaya K-Pop

Sejak drama dan lagu Korea mendapat tempat di Malaysia, ramai remaja lelaki memilih untuk menggayakan rambut persis pelakon atau penyanyi Korea. Gaya ini akan membuatkan anda semakin kacak jika anda memang kacak orangnya! Bagi yang bukan berambut lurus, penulis sarankan untuk memilih gaya lain kerana anda perlu ke salun setiap bulan untuk meluruskan rambut !

Gaya Botak

Apabila sesi persekolahan bermula, pasti ramai pelajar yang merungut! Selalunya pelajar sekolah yang mempunyai rambut panjang akan disuruh botak atau dibotakkan. Kata mereka, botak itu tidak kacak !

Bagi lelaki yang tidak sesuai dengan gaya ini, mereka setuju 100 peratus dengan kenyataan itu. Ini kerana tidak semua lelaki sesuai berkepala botak namun ada juga yang kelihatan kacak dengan gaya berkenaan. Namun, bagi lelaki yang tidak sesuai dengan gaya botak pasti akan meraung apabila dibotakkan kerana kekacakan mereka musnah sekelip mata.

Gaya Dreadlock

Tidak ramai remaja yang berani menggayakan gaya dreadlock yang cukup sinonim dengan kumpulan muzik reggae di Malaysia. Membiarkan rambut panjang tanpa jagaan, sehingga akhirnya membelit membentuk gumpal, amat payah untuk menjaga kebersihan rambut. Justeru tidak sesuai untuk tampil dengan gaya ini ke tempat kerja. Namun, ada dalam kalangan artis yang berani pernah mencuba gaya ini seperti Farid Kamil.

Gaya Cornrows

Gaya rambut seperti pintalan jagung ini mula popular sejak muzik hip hop meletus pada tahun 90-an. Penjagaan yang rapi dan kos yang tinggi menyebabkan gaya ini tidak begitu menjadi ikutan dalam kalangan remaja masa kini. Reshmonu ialah pelopor bagi gaya rambut ini di Malaysia.

Gaya Undercut

Gaya James Darmody di Broadwalk Empire ini boleh dikatakan amat popular dalam kalangan remaja kini dan sesuai digayakan ke mana saja. Potongan pendek di bahagian belakang juga tepi dan bahagian rambut atas yang sedikit panjang disikat ke belakang menggunakan gel rambut pastinya membawa penampilan yang rapi dan luar biasa untuk anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 2:12 PM