Kuala Lumpur: IJM Land Bhd (IJM Land) dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan 990 unit apartmen lima tingkat di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang melalui program di bawah Kerajaan Negeri Selangor iaitu Rumah Selangorku.

Menurut IJM Land, tawaran bagi unit kediaman tiga bilik itu dibahagikan kepada dua jenis iaitu Jenis A yang memiliki keluasan 706 kaki persegi dan Jenis B (751 kaki persegi) di kawasan perbandaran dibangunkan syarikat dengan keluasan kira-kira 405 hektar.

“Bandar Rimbayu terletak di kawasan strategik berhampiran Kota Kemuning dan mudah diakses melalui lima lebuh raya utama termasuk Kesas dan LKSA di samping lebuh raya Elite, SKVE dan Lebuhraya Pantai Barat (dalam pembinaan) pada masa akan datang,” kata IJM Land dalam kenyataan di sini, semalam.

Orang ramai terutama di Selangor perlu merebut peluang untuk mendapatkan unit kediaman ini dengan memohon dan mendaftar di laman web LPHS di http://lphs.selangor.gov.my.

Mereka juga berpeluang untuk meninjau dan membuat pendaftaran bagi memiliki unit kediaman terbabit di majlis pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku pada 22 Mac ini bermula jam 9 pagi di The ARC, Bandar Rimbayu.

Perasmian akan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Syarat utama bagi permohonan rumah Jenis A adalah warganegara Malaysia 18 tahun ke atas, bermastautin di Selangor, pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 sebulan, terhad kepada satu keluarga, pemohon atau pasangan tidak pernah memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan dan swasta serta pindah milik hanya selepas lima tahun.

Syarat rumah Jenis B pula adalah warganegara Malaysia 18 tahun ke atas, pendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM8,000 sebulan, pemohon dan pasangan tidak memiliki sebarang rumah di Selangor, pemohon bujang yang memiliki tanggungan keluarga boleh memohon, pembelian rumah adalah untuk didiami bukan disewa, pindah milik hanya selepas lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:47 AM