FOTO Reuters
FOTO Reuters

Berlin: Waris mangsa nahas Penerbangan Malaysia MH17 dari Jerman akan mendakwa Ukraine dan presidennya kerana membunuh akibat kecuaian, menurut peguam yang menwakili tiga keluarga mangsa Jerman.

Profesor undang-undang penerbangan Elmar Giemulla yang mewakili tiga keluarga dari Jerman itu berkata, mengikut undang-undang antarabangsa Ukraine sepatutnya menutup lauan udaranya jika tidak dapat menjamin keselamatan pesawat. 

“Setiap negara bertanggungkawab bagi keselamatan ruangan udaranya,” kata Giemulla dalam satu kenyataan. 

“Jika ia tidak dapat menjamin keselamatan untuk sementara waktu, ruangan udara itu perlu ditutup.

“Disebabkan Ukraine tidak menutup ruangan udaranya, ia boleh didapati bertanggungjawab untuk nahas itu,” katanya.

Apabila ruang udara tidak ditutup, Ukraine menerima hakikat bahawa nyawa ratusan orang akan “terancam” dan ini adalah satu pelanggaran hak asasi manusia, kata Giemulla dalam akhbar Ahad Bild am Sonntag. 

Giemulla akan membawa kes itu kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dalam masa dua minggu ini. 

Dia akan mendakwa Ukraine dan Presiden Petro Poroshenko di atas 298 tuduhan membunuh akibat kecuaian. 

Giemulla juga akan meminta pampasan sebanyak 1 juta euro (RM4.15 juta ringgit) bagi setiap mangsa, menurut laporan Bild am Sonntag itu. 

Pesawat MH17 ditembak jatuk di kawasan pemberontak pro-Russia pada 17 Julai lalu dan kesemua 298 penumpang dan kru terkorban, termasuk empat penumpang Jerman. 

Ukraine dan negara barat lain mendakwa puak pemberontak pro-Russia menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu dibuat oleh Russia. 

Namun, Russia menafikan dakwaan ia telah memberi sistem peluru berpandu SA-11 Buk kepada puak pemberontak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 September 2014 @ 9:00 PM