ORION S1
ORION S1
ORION S1
ORION S1
ORION S1
ORION S1
Afiq Hanif


Peranti realiti maya (VR) semakin mendapat tempat di hati pengguna teknologi sebagai aksesori tambahan hiburan telefon pintar mereka setakat ini.

Malah, harga yang semakin merudum menjadi pemangkin semangat untuk mendapatkan set VR berbanding setahun dua dulu.

Penguji berjaya memperoleh Orion S1 yang mempunyai harga patut iaitu hanya RM288 saja malah lebih murah jika anda melihat beberapa laman e-dagang di Malaysia.

Cara gunanya hampir menyamai Google Cardboard apabila anda memerlukan telefon pintar untuk dimuatkan di ruang depan, tetapi kaedah memasukkannya sangat mudah dengan satu klip saja pada skrin depan.

Dari aspek rekaan, ia nampak seakan-akan agak terlalu plastik, tetapi dengan keupayaan menyokong telefon bersaiz 4.6 inci hingga 6.2. inci memang berbaloi memilikinya.

Bersaiz 240 x 180 x 100mm, Orion S1 mempunyai butang tambah tolak di atas skrin bagi memudahkan pengguna zum masuk atau keluar mengikut keselesaan sudut pandangan mata sendiri.

Jangan risau dengan bunyi bising kerana set VR ini mempunyai fon telinga sendiri yang disambungkan ke telefon meskipun sudut pasangnya mungkin sedikit kurang selesa namun ia bukan masalah besar.

Orion S1 juga mempunyai pembesar suara stereo yang terletak di sisi fon telinga sekiranya pengguna memilih untuk mahu audio kuat.

Terdapat butang OK untuk memilih kandungan yang terpapar di skrin manakala butang ‘Volume Down’ boleh digunakan sebagai ‘rewind’ atau ‘skip’.

Sudut ruang kepala boleh diselaraskan mengikut keselesaan, tetapi kalau anda sayangkan rambut, memang sukarlah menggunakannya.

Penguji mendapati set ini lebih sesuai untuk menonton video secara lebih dekat dan aplikasi juga memerlukan sedikit penambahbaikan dari aspek kandungan.

Selepas menonton melebihi 40 minit, penguji mencabut set VR ini dari kepala dan berehat sebentar sebelum menyambung kembali siri yang digemari.

Mungkin itulah yang patut anda lakukan apabila menggunakan mana-mana set VR bagi mengelakkan mata dan minda terlalu ‘stress’.

INFO

ORION S1

- HARGA: RM288

- PENGEDAR: ECS ICT Berhad

- CIRI: Set VR

- PRO: Harga murah

- KONTRA: Rekaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 11:32 AM