PESERTA wanita VAWC 2014 ketika beraksi di Taman Cabaran.
PESERTA wanita VAWC 2014 ketika beraksi di Taman Cabaran.
PEMANGKU Pengarah Pusat Pembangunan Sukan UIAM, Roestam Effendi Sijar (dua kanan), Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Sektor Pengajian Tinggi KPM, Nor Azlina Mohd Zubaidi (empat kiri) dan Presiden Persatuan Pendaki Malaysia, Kamaruddin Mohamed Yusoff (dua kiri) bergambar bersama pemenang VAWC 2014 di Taman Cabaran, Putrajaya.
PEMANGKU Pengarah Pusat Pembangunan Sukan UIAM, Roestam Effendi Sijar (dua kanan), Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Sektor Pengajian Tinggi KPM, Nor Azlina Mohd Zubaidi (empat kiri) dan Presiden Persatuan Pendaki Malaysia, Kamaruddin Mohamed Yusoff (dua kiri) bergambar bersama pemenang VAWC 2014 di Taman Cabaran, Putrajaya.
ANTARA aksi peserta di VAWC 2014.
ANTARA aksi peserta di VAWC 2014.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Dunia hari ini bukan hanya membawa pengaruh teknologi besar kepada masyarakat tapi meragut deria orang muda me­neroka kehidupan sihat.

Sekilas pandang, majoriti belia kini leka menghadap skrin telefon bimbit, gajet dan komputer berikutan pengaruh kuat permainan atas talian.

Mereka seolah-olah lupa keseronokan beriadah di luar, keterujaan sukan ekstrem serta nikmat alam ketika beraksi di luar rumah.

Alangkah bagus jika kumpulan belia ini dapat dialih perhatian mereka buat seketika kerana ba­nyak sukan ekstrem diang­kat menjadi fenomena baru dalam kalangan pencinta alam di negara ini, antara­nya mendaki tembok tiruan atau 'wall climbing'.

Berbanding mendaki gunung, sukan itu tidak memerlukan modal permulaan besar, asalkan ada kasut mendaki yang bersesuaian, ajaklah teman dan keluarga berkunjung ke Taman Cabaran Putrajaya, Camp5 One Utama atau mana-mana kompleks mendaki di seluruh negara.

Penulis pernah mencuba sukan ini buat pertama kali di taman rekreasi di Melaka kira-kira tiga tahun lalu.

Segala beban tekanan kerja ternyata hilang sepenuhnya apabila sampai ke puncak tembok dalam masa kurang seminit!

Kenangan itu bermain semula di ingatan ketika menyaksikan Kejohanan Varsity Artificial Wall Climbing (VAWC) 2014 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Taman Cabaran Putrajaya, baru-baru ini.

Sejumlah 210 penyertaan direkodkan daripada lebih 10 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara. Mereka merebut peluang dalam tujuh kategori Top Rope and Lead (lelaki/ wanita), Speed (lelaki), Boulder (lelaki/ wanita), Expert (Lead/ lelaki) dan Pasukan Campuran Amatur.

Menurut Penolong Pegawai Sukan di Pusat Pembangunan Sukan UIAM Mohd Rizal Hashim, mereka menerima penyertaan memberangsangkan di kejohanan tiga hari itu.

"Tahun ini penyertaan pelajar mencecah 100 peratus berbanding tahun lalu dengan dua kategori ditambah mengikut permintaan.

"Kategori Expert diadakan untuk membahagi tahap cabaran supaya sesuai dengan kelayakan peserta. Ini membuka ruang kepada pendaki mahir dan amatur mempamer aksi terbaik mereka," katanya.

Meneliti senarai peserta, sukan itu memiliki perantis yang komited mencipta rekod di peringkat Asean dan dunia.

Mendekati pelajar Sarjana Muda Perdagangan Kolej Damansara Utama (KDU) Amalina Syairah Abdul Mutalip, 25, wanita muda ini nampak pemalu dan lembut di luar.

Hakikatnya, anak keempat daripada enam beradik ini memiliki semangat kental dalam sukan mendaki.

Dia jatuh cinta pada sukan mendaki itu sejak tiga tahun lalu dan aktif berlatih di Taman Cabaran dan Camp5.

"Sukan ini adalah hobi namun saya tetap berusaha beraksi di luar negara.

"Di Malaysia, ini adalah penyertaan pertama saya di peringkat universiti dan pencapaian terbaik ialah tempat ke-12 ketika menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Singapura. Selain itu, saya mendapat tajaan Crossmove untuk bertanding di China," katanya.

Ketika berlangsungnya kejohanan akhir VAWC 2014, Nuansa sempat menyaksikan ketangkasan peserta muda Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli, 20.

Pelajar Diploma Leisure Outdoor and Adventure Management di Management and Science University (MSU) ini mendapat tempat pertama dalam kategori Speed.

Anak bongsu daripada empat beradik ini mempunyai minat tinggi dalam sukan lasak hinggakan dia nekad me­nyambung pelajaran dalam bidang sama.

"Saya bermula dalam sukan mendaki sekitar September 2010. Antara lokasi latihan tumpuan adalah di Taman Cabaran, Camp5, Extreme Park Shah Alam dan Boulder Venture Subang.

"Sukan ini bukan saja seronok tapi memberi saya banyak ruang untuk mencabar kemampuan diri hing­ga ke peringkat lebih tinggi.

"Dalam masa sama, kita akan lebih yakin dengan diri dan cenderung berfikir dengan pantas," katanya.

Selain bertanding di VAWC, Taqiuddin turut mencuba nasib dengan menyertai kejohanan luar.

"Pencapaian terbaik saya raih tahun lalu apabila mendapat tempat kelima dalam Asian Youth Championship di Surabaya.

"Selain itu, saya juga bertanding di Singapura dan beberapa kejohanan lain di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:02 AM