KEMUDAHAN latihan memanjat tembok tiruan di rumah juga memudahkan latihan Jimmy.
KEMUDAHAN latihan memanjat tembok tiruan di rumah juga memudahkan latihan Jimmy.
Hafiz Ithnin


Biarpun baru berusia sembilan tahun, bukan menjadi penghalang kepada Jimmy Shahrul Hisham untuk menyertai aktiviti mendaki tembok. Malah, si kecil ini juga dilihat mampu menjadi pelapis atlet dalam sukan itu pada masa depan.

Anak kedua pasangan Shahrul Hisham Tahir dan Maziah Joary Tajudin ini sebenarnya mula berminat menyertai aktiviti berkenaan ketika berusia enam tahun. Sejak kali pertama melakukannya, rasa ingin terus mencuba tidak pernah lekang dalam diari hariannya.

Shahrul Hisham berkata, sejak kali pertama dibawa ke pusat latihan mendaki tembok di Xero Gravity Indoor Rock Climbing Gym berhampiran rumahnya, Jimmy kerap menjalankan aktiviti pendakian antara tiga atau empat hari seminggu.

Tambahan pula pusat latihan itu mempunyai jurulatih yang melatih Jimmy bagi memantapkan kemahiran teknik pendakian dan membina staminanya untuk menjadi atlet pendaki tembok pada masa depan.

“Jimmy mempunyai seorang abang dan agak aktif dalam sukan seperti bola sepak serta ragbi. Mungkin susuk tubuh abangnya lebih sesuai untuk melakukan jenis sukan sebegitu.

“Berbanding Jimmy, badannya tidak begitu besar dan apabila mula diperkenalkan dengan aktiviti ini, dia begitu seronok serta mudah melakukan teknik pendakian yang diajar jurulatih.

“Jadi, mungkin ini adalah sukan sesuai untuk Jimmy berbanding yang disertai abangnya,” katanya yang juga aktif dalam aktiviti memanjat tembok.

Selain berlatih di Xero Gravity Indoor Rock Climbing Gym, Jimmy juga kerap menjalankan aktiviti mendaki tembok di Boulder Ventures di Subang Jaya dan Taman Cabaran Putrajaya (PCP).

Sejak dia menyertai aktiviti itu, pelbagai pertandingan disertainya di dalam negara dan semua kejohanan itu memerlukannya bertanding secara terbuka dengan orang lebih dewasa.

Shahrul Hisham juga pernah merancang untuk membabitkan Jimmy dengan kejohanan antarabangsa yang diadakan di luar negara tetapi berdepan dengan situasi sama iaitu kategori kanak-kanak di bawah 10 tahun tidak mendapat sambutan penyertaan.

Menurut Shahrul Hisham, meskipun Jimmy perlu bertanding dengan golongan dewasa atau remaja, pencapaian peribadinya boleh dibanggakan setiap kali dia menyertai kejohanan.

Katanya, setakat ini Jimmy sudah mampu menguasai beberapa disiplin untuk kejohanan pendakian tembok antaranya ‘Lead Climbing’, ‘Bouldering’ dan ‘Classic Speed’. Malah, prestasi anaknya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Seperti kita tahu untuk melahirkan seseorang atlet, sikap memainkan peranan penting bagi membolehkan seseorang itu terus maju dan menurut jurulatihnya, Jimmy adalah kanak-kanak yang tidak pernah berputus asa dalam setiap cabaran pendakian dilakukannya.

“Tambahan pula, dia seorang yang sentiasa ingin mencuba cabaran baru dalam aktiviti pendakian tembok dan memastikan cabaran itu dapat diharungi meskipun sukar. Itulah semangat yang ada pada Jimmy,” katanya.

Meskipun sibuk berlatih mendaki tembok, Jimmy yang juga murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Methodist, Petaling Jaya, Selangor itu pelajarannya tidak terjejas dan sentiasa menduduki tangga lima teratas di dalam kelas.

Ketika ditanya berkenaan masa depan Jimmy dalam sukan ini, Shahrul Hisham berkata, sebagai bapa sudah pasti dia inginkan anaknya itu berjaya dalam akademik dan sukan pendakian tembok.

Katanya, dia berharap Jimmy dapat mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik pada masa depan kerana anaknya mempunyai potensi tinggi.

“Jika Jimmy ingin menyertai Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun mungkin tidak sesuai buat masa ini kerana bentuk fizikalnya yang masih kecil walaupun sebelum ini dia banyak bertanding dengan golongan dewasa.

“Saya juga harapkan lebih banyak ibu bapa dapat membawa atau memupuk minat kanak-kanak menyertai sukan memanjat tembok kerana ia dapat menjadikan mereka lebih berdisiplin dan bermotivasi tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 1:17 PM