PETER jadi juri Miss Universe Malaysia 2015.
PETER jadi juri Miss Universe Malaysia 2015.
ANN tetap wanita sejati.
ANN tetap wanita sejati.
Oleh Georgie Joseph


Mereka membuka mata rakyat Malaysia bahawa memiliki kerjaya di gelanggang seni mempertahankan diri berada dalam kelas tersendiri.

Antara peneraju sukan seni mempertahankan diri campuran atau Mixed Martial Art (MMA) untuk Malaysia, Peter Hugh Davis dan Ann Osman berjaya mengharumkan nama negara.

Tidak seperti sukan lasak lain menuntut sepenuh fokus hingga sisi lain mereka terpaksa dikorbankan, namun bagi dua atlet ini, tiada kekangan untuk itu.

Dalam sukan itu mereka dilabel sebagai pejuang, jadi imej sebegitu membuatkan orang sentiasa membayangkan kehidupan mereka hanya berkisar kepada latihan semata-mata.

Peter, 33, tidak menafikan demi kejohanan One Championship: Age Of Champions yang disertainya latihan berterusan perlu dilakukan.

Namun, dalam masa yang sama dia tetap memiliki ‘masa’ untuk mencipta nama sebagai model, pelakon dan penggiat fesyen.

Malah, ketika sibuk dalam perlawanan disertai, Peter juga dipilih sebagai juri pencarian Miss Universe Malaysia 2015.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa namanya terpilih sebagai orang penting pertandingan ratu cantik berprestij itu.

“Saya memang tidak ada pengalaman dalam pertandingan berkaitan ratu cantik sebelum ini, tetapi pengalaman dalam bidang peragaan dan hiburan selama lapan tahun barangkali sebab utama saya diberi peluang itu.

“Saya ada perspektif sendiri terhadap penilaian wanita dalam pertandingan seperti itu. Selain dari segi kemahiran berkomunikasi dan keterampilan, saya faham bagaimana untuk memberi penilaian peribadi,” katanya.

Pembabitannya dalam sukan berkenaan tidak disangkal menjadi penyumbang utama kepada keterampilan diri sasanya.

Bagaimanapun, berkongsi mengenai gaya hidup yang perlu dilaluinya, ternyata bukan mudah terutama membabitkan penjagaan badan.

“Paling membuat saya tertekan adalah melakukan diet. Bayangkan setiap kali menjelang perlawanan, saya perlu mencapai berat badan ideal dan setakat ini saya berjaya lakukan,” katanya.

Menurut Peter, dalam menjalani rutin itu dia perlu berdisiplin dan mencari inisiatif terbaik termasuk meditasi.

“Meskipun kena diet, pengambilan zat termasuk karbohidrat adalah wajib dan apabila fizikal kuat, begitu juga minda untuk terus memastikan gaya hidup seimbang,” katanya.

Ann masih ‘feminin’

Bagi wanita kelahiran Sabah, Ann atau popular dengan gelaran ‘Anthena’ untuk sukan ini, pendakian hidupnya sehingga ke tahap dikenali sebagai pejuang kini bukan jalan mudah.

Menurutnya sejak dulu sifat pejuang dalam dirinya memang kental. Hanya seorang wanita biasa yang turut mengimpikan akan mencapai cita-citanya suatu hari nanti membuatkannya kuat sehingga tercapai sekarang.

Bagaimanapun, ditanya mengenai populariti yang diterimanya sekarang, dia mengakui tidak pernah terfikir untuk mengambil tahu mengenai perkara itu kerana dia tahu hala tujunya kenapa memilih MMA.

“Apabila saya mula berkecimpung dalam sukan ini, saya juga ada kerjaya tetap. Namun, kerana keinginan memuncak untuk mencapai sesuatu lebih besar membuatkan saya terpaksa mengorbankan banyak benda kerana saya benar-benar mahukannya.

“Mungkin sekarang sudah ramai mula kenal dan membuka mata terhadap saya, namun tidak terlintas langsung rasa diri saya popular. Tambahan lagi, saya jenis wanita yang fokus dalam sesuatu yang dibuat. Paling penting terus bekerja keras mencapai matlamat saya,” katanya.

Lagaknya di gelanggang memang luar biasa. Terserlah dirinya sebagai atlet yang cukup kuat dan sasa membuatkan kadang-kadang nilai feminin yang ada pada dirinya tidak terlihat langsung.

Menurut Ann, tidak semestinya imej yang dilihat setiap kali dia beraksi di gelanggang mencerminkan personalitinya di luar.

Hakikatnya, dia masih lagi gadis yang suka bermain alat mekap dan berdandan.

“Dari segi penampilan, ramai yang terkejut setiap kali saya keluar dari bilik persalinan terutama selepas perlawanan.

“Ada juga antara mereka yang mengandaikan saya hanyalah seorang penghuni gimnasium tegar.

“Padahal, saya sebenarnya masih seperti wanita lain yang sangat suka bermekap dan mengenakan gaun cantik,” katanya.

Sementara itu, jangan lupa saksikan kehebatan Ann dan Peter di gelanggang menentang lawan mereka menerusi One Championship : Age of Champions di TV9 jam 10.30 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 11:38 AM