PEMAIN Porto meraikan jaringan Brahimi (tengah).
PEMAIN Porto meraikan jaringan Brahimi (tengah).

Porto, Portugal: FC Porto kekal tanpa kalah dalam Liga Juara-Juara musim ini dan layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2009 apabila mereka menundukkan kelab Switzerland, FC Basel 5-1 secara agregat, awal pagi semalam.

Jaringan Yacine Brahimi (minit ke-14), Hector Herrera (47), Casemiro (56) dan Vincent Aboubakar (76) mencetus kemenangan 4-0 di Estadio do Dragao, sekali gus meneruskan persembahan buruk Basel di Portugal ketika jurulatih mereka Paulo Sousa mengalami mimpi ngeri di negara kelahirannya.

Perlawanan pertama berakhir 1-1 di Switzerland tiga minggu lalu.

Jurulatih Porto, Julen Lopetegui menjelaskan beliau gembira dan bangga berikutan kemaraan pasukannya ke suku akhir.

“Anda perlu menyanjung keseluruhan pasukan kerana persembahan fantastik ini menentang lawan yang amat sukar dan hadir di sini dengan keazaman untuk mara,” kata Lopetegui.

“Kami berhak melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara sekalipun terpaksa beraksi pada pusingan kelayakan, saya amat gembira dan bangga dengan pemain yang mempamerkan karakter sebenar,” ujarnya.

Juara Switzerland itu masih belum menang dalam enam kunjungan ke Portugal manakala Sousa, bekas pemain tengah Benfica dan Sporting Lisbon, menyaksikan pasukannya gagal sekali lagi dalam usaha layak ke suku akhir buat julung kali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 10:27 AM