Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Goh Ah Chai enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan seorang penolong pengadil mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyerang import Sarawak, Billy Mehmet pada perlawanan Liga Super Sabtu lalu.

Ternyata aduan dibuat pegawai Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kepada komisar perlawanan sebaik tamat aksi menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu belum cukup untuk jabatan berkenaan bertindak.

“Tidak ada komen. Sesiapa yang tidak puas hati dengan apa saja keputusan boleh membuat aduan rasmi terus kepada sekretariat FAM. Kena ikut prosedur,” katanya kepada Arena Metro semalam.

“Kalau mereka memaklumkan perkara itu kepada komisar perlawanan, anda kena tanya dengan pegawai itu sendiri,” tambah Ah Chai.

Insiden penyerang import Sarawak dari England Mehmet didakwa dihina penolong pengadil dilaporkan Arena Metro semalam selepas mendapat pengesahan daripada Ketua Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Mohd Shazli Shaik Mohd mengenai isu berkenaan.

Menurut Shazli, Sarawak mengemukakan aduan menerusi borang C07 selepas perlawanan itu berakhir dan salinannya sudah diserahkan kepada Jabatan Pengadil dan Jabatan Undang-Undang FAM untuk tindakan.

Mehmet, 31, sebelum itu turut meluahkan rasa kecewanya menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Twitter miliknya selepas tamat perlawanan berkesudahan 2-1, memihak kepada Johor DT.

Ini bukan kali pertama kes membabitkan pengadil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemain kerana kapten Sarawak Joseph Kalang Tie pernah berdepan situasi sama tahun lalu.

Bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas pengadil Sukri Abdul Rahman kerana Joseph Kalang dianggap tersalah dengar apa yang diperkatakan pengadil berkenaan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:36 AM