SUMAREH (kiri) mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pegawai perlawanan pada aksi final kedua menentang Vietnam di Hanoi 15 Disember lalu selepas perlawanan.
SUMAREH (kiri) mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pegawai perlawanan pada aksi final kedua menentang Vietnam di Hanoi 15 Disember lalu selepas perlawanan.
Ajitpal Singh


KUALA LUMPUR: Misteri kad merah Mohamadou Sumareh akhirnya terungkai.

Pemain kelahiran Gambia itu yang beraksi untuk Malaysia pada Piala AFF menerima hukuman penggantungan empat perlawanan dan denda AS$5,000 (RM21,000) pada Jumaat lalu kerana mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pegawai perlawanan pada aksi final kedua menentang Vietnam di Hanoi 15 Disember lalu.

Pada perlawanan itu, Vietnam menang 1-0 untuk merangkul gelaran menerusi agregat 3-2 dengan Malaysia.

Persoalan timbul apabila pemain berusia 24 tahun itu menerima kad merah daripada pengadil Iran, Alireza Faghani namun kad merah berkenaan tidak direkodkan di dalam laporan perlawanan yang turut ditandatangani oleh komisar perlawanan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam mengesahkan kad merah yang diberikan itu kerana Sumareh mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan selepas perlawanan berakhir.

“Laporan perlawanan hanya merekodkan jumlah kad, gol dan perkara lain yang berlaku dalam perlawanan. Ia tidak merekod insiden yang berlaku selepas wisel penamat dibunyikan. Kesalahan Sumareh direkodkan selepas wisel penamat dibunyikan.

“Sumareh tidak berpuas hati dengan keputusan pegawai perlawanan kerana dia merasakan gol Vietnam dihasilkan dalam kedudukan ofsaid. Dia tertekan dan tidak dapat mengawal perasaan.

"Kad merah yang diberikan kepada Sumareh itu selepas perlawanan dan pengadil membuat aduan kepada komisar perlawanan. Insiden itu direkodkan dalam laporan komisar perlawanan kepada Persekutuan Bolasepak Asean," kata Stuart kepada Sukan NSTP.

Hukuman penggantungan empat perlawanan itu hanya tertakluk kepada perlawanan yang diiktiraf AFF.

Sumareh yang memiliki 10 kap dan dua gol pada 2018 masih boleh beraksi dalam perlawanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA.

"Kami akan mengemukakan rayuan ke atas hukuman itu Rabu ini. Kami pelik kenapa penggantungan empat perlawanan itu hanya membabitkan perlawanan yang diiktiraf AFF.

"Berdasarkan peraturan itu bermakna Sumareh hanya tidak boleh beraksi pada empat perlawanan edisi Piala AFF 2020. Kita akan cuba membantah peraturan ini kerana kita mahu penggantungan ini mengambil kira perlawanan AFF dan FIFA.

"Dalam rayuan itu juga, kami akan membangkitkan faktor yang memberi kesan kepada mental Sumareh iaitu jaringan gol Vietnam yang dipercayai ofsaid.

"Sudah pasti rayuan Sumareh itu akan berdepan risiko hukuman lebih berat digantung lebih empat perlawanan tapi saya percaya kami ada alasan kukuh," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 9:48 PM