AMINUDDIN merasmikan merasmikan Sistem Solar Sekolah SRI Seremban, di sini. FOTO Ihsan Pejabat MB
AMINUDDIN merasmikan merasmikan Sistem Solar Sekolah SRI Seremban, di sini. FOTO Ihsan Pejabat MB
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sekolah SRI Seremban di sini, mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di negeri ini dilengkapi panel solar melalui perjanjian Pembekalan-Tenaga Boleh Diperbaharui hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX.

Pemasangan solar ini adalah satu mercu tanda Sekolah SRI Seremban ke arah melestarikan tenaga hijau seiring pendidikan Al-Hikmah yang menjadi teras kepada institusi pendidikan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kolaborasi antara pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi inisiatif penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui.

Katanya, sistem berkenaan mempunyai kapasiti sebanyak 439.53 kilowatt (kWp) yang mampu menjana 641,000 kilowatt/jam (kWh) setahun.

"Saya dimaklumkan pemasangan sistem ini mula dilakukan pada 1 Januari lalu dan siap sepenuhnya pada 26 Oktober lalu membabitkan 966 panel dan lapan unit inverter.

"Sistem ini direalisasikan melalui program Solar Energy Purchasing (SEP) TNB di mana pemasangan dan pengurusan sistem solar dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

"Pemasangan sistem ini juga membolehkan Sekolah SRI Seremban menggunakan tenaga yang terhasil dan mengeksport tenaga yang berlebihan ke grid TNB untuk menikmati penjimatan berganda," katanya ketika merasmikan Sistem Solar Sekolah SRI Seremban, di sini, tadi.

Aminuddin berkata, pihaknya yakin dan percaya projek ini satu trend ke hadapan bagi menangani isu-isu tenaga perubahan iklim dan pembangunan mampan, maka segala inisiatif hijau perlu diketengahkan dan dimajukan.

Beliau berkata, di bawah inisiatif ini, Sekolah SRI Seremban tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk pemasangan sistem solar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 2:55 PM