WOODS
WOODS
Reuters

Augusta, AS: Prospek mengenai Grand Slam karier bagi pemain nombor satu dunia Rory McIlroy dan ketidaktentuan permainan Tiger Woods mendominasi cerita menjelang kejohanan Masters AS di Augusta National, minggu ini.

McIlroy dari Ireland Utara membida kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejuaraan utama dan Jaket Hijau sulungnya di Georgia bagi melengkapkan set empat kejuaraan utama sukan golf.

“Saya berpeluang tampil di Augusta, mencipta sesuatu yang tidak ramai melakukannya sebelum ini, jadi ia menambah kerancakannya,” kata McIlroy.

Manakala juara empat kali Woods hanya memutuskan untuk bertanding di Augusta National Jumaat lalu, selepas bergelut dengan permainannya dalam dua kejohanan musim ini.

“Ia jelas amat penting dan saya mahu berada di sana,” kata Woods yang terlepas Masters AS tahun lalu selepas dinasihatkan doktor supaya melakukan pembedahan bagi kesakikan belakangnya.

“Saya bekerja keras memperbaiki permainan dan tidak sabar untuk turun bertanding.”

Dia mencatat pusingan terburuk karier profesional, 11 atas par 82, sekali gus terlepas ‘cut’ Terbuka Phoenix Januari lalu dan menarik diri daripada Terbuka Farmers Insurance di Torrey Pines minggu berikutnya selepas 11 lubang kerana kekejangan belakang.

Bekas pemain nombor satu dunia yang meraih kejuaraan utama terakhir pada Terbuka AS 2008, menyatakan dia tidak kembali ke Jelajah PGA AS hingga permainannya ‘setaraf kejohanan’ dan ramai pengulas berasa dia mengalami kesan pukulan ‘chip’.

Jika benar Woods mengalami kesan itu, pergerakan otot tidak sengaja, Augusta National pasti memberikan cabaran lebih getir buatnya dengan green pantas dan beralun-alun.

McIlroy berkongsi tangga kelapan Masters AS tahun lalu bagi merekod pencapaian pertama dalam kelompok 10 teratas dalam enam penampilan pada kejuaraan utama pertama musim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:26 AM