Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Wang tunai kira-kira RM206 juta masih belum dituntut pewaris daripada syarikat peramanahan dan pewarisan utama negara, Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sejak lebih 15 tahun lalu.

Pengerusi AmanahRaya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah wang menunggu dituntut itu adalah daripada kira-kira 20,000 kes, kebanyakannya membabitkan nilai pampasan pengambilan tanah oleh kerajaan.

"Wang itu ada di AmanahRaya dan kami sedang mengesan pewaris tanah dari semasa ke semasa sejak lebih 15 tahun lalu sehingga kadang kala ada kes yang sudah mati sehingga dua tiga keturunan pun warisnya belum ditemui.

"Perkara ini membabitkan hak dan kita tidak boleh memberi wang itu sewenang-wenangnya," katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik AmanahRaya dan Pos Malaysia Berhad di Kompleks Dayabumi di sini, petang ini.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Datuk Abdul Rahman Md Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 5:30 PM